PORT DICKSON, 25 Jan - Sebuah rumah di pangsapuri D’Pinggiran Kota di sini dipenuhi dengan ratusan botol kaca kosong minuman keras berjenama terkenal.
(Gambar Atas) Timbunan botol kaca minuman keras dalam pangsapuri berkenaan.
Foto - Sinar Harian
Botol berkenaan di susun kemas memenuhi ruang rumah tiga bilik itu sekali gus menimbulkan tanda tanya siapa pelakunya.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia juga tidak tahu tujuan botol-botol berkenaan disimpan di situ.
“Rumah ini dah lama tidak berpenghuni. Ia rumah terbiar dan saya difahamkan orang yang menyimpan botol ini juga menetap di pangsapuri ini. Tapi tak diketahui kenapa dia buat demikian. Botol-botol ini disusun kemas dan ada yang disimpan dalam beg plastik,” katanya.
Menurutnya lagi, selain itu ada juga rumah kosong dijadikan tempat pembuangan sampah haram dan pelakunya adalah penduduk setempat juga.
“Keadaan itu sekali gus menjadikan pangsapuri ini kotor, berbau busuk selain mengundang tikus dan tempat pembiakan nyamuk. Persekitaran pangsapuri ini juga kotor, ada yang membaling sampah dari tingkat atas ke tong sampah di bawah, tapi tak masuk dan jadi bersepah di bawah.
“Belum lagi penduduk yang memelihara anjing dan kucing kemudian membiarkan haiwan itu membuang najis merata-rata di kaki lima,” katanya.
Katanya lagi, masalah monyet dan anjing liar juga tidak terkawal di kawasan pangsapuri ini.
“Monyet dan anjing memang banyak, mengganggu dan mengancam keselamatan penduduk. Tapi saya gembira kerana pihak berkuasa turun padang mendengar dan melihat sendiri masalah yang berlaku di pangsapuri ini. Terima kasih atas keprihatinan dan mengambil berat atas apa yang berlaku di sini,” katanya.
MPPD Teliti Aduan
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasim berkata, pihaknya telah meneliti semua aduan penduduk dan satu sesi dialog telah diadakan.
“Tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini. Antara yang akan dilaksanakan adalah menyelenggarakan longkang, mencantas dahan pokok dan membersihkan rumah-rumah yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram oleh penduduk.
“Kita juga letakkan tong sampah yang lebih sesuai bagi menampung kapasiti semasa sampah domestik penduduk. Selain itu kita juga akan menambah baik beberapa kemudahan lain seperti tempat parkir motosikal dan ruangan peti surat di pangsapuri ini,” katanya.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (25 JANUARI 2018)











