8 Penagih Dadah Ditahan, Termasuk 2 Warga Emas

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

JEMPOL, 24 Jan - Ketika rakan seusia menghabiskan masa mendekati masjid, dua lelaki warga emas masih hanyut dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

(Gambar Atas) Tokan dan penagih yang ditangkap polis dalam op sarang di pot Bukit Senangin di ladang kelapa sawit FELDA Serting Hilir Tiga. - Foto Berita Harian

Kedua-dua mereka yang berusia 60 tahun ditahan polis bersama lapan lagi penagih dalam satu serbuan di sarang penagih dadah di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Serting Hilir Tiga, jam 9.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun itu didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, turut ditahan di kawasan itu adalah seorang pengedar kecil-kecilan berusia 38 tahun dan dia disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.

“Semua mereka memberi pelbagai alasan untuk mengelak ditangkap termasuk mendakwa datang ke situ kerana bekerja di ladang kelapa sawit berkenaan, namun cubaan itu tidak berjaya apabila keputusan ujian air kencing didapati positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin, berkata anggaran nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM600, selain polis turut menyita sebuah motosikal.

SUMBER - Petikan berita daripada Berita Harian Online (24 Januari 2018 | 1:12pm)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.