Asal Usul Nama Bongek, Rembau, Negeri Sembilan

Pernah dengar nama “Bongek”? Kalau ada pun, ada yang menggunakan perkataan ini untuk menyumpah seseorang. Kalau kita dengar, memang macam kasar bunyinya tapi adakah anda tahu apakah maksudnya?Di Negeri Sembilan terdapat sebuah kampung yang diberi dengan nama ini iaitu Bongek, Rembau, Negeri Sembilan.

bongek rembau negeri sembilan

Bongek ialah mukim/kampung yang terletak kira-kira 6km dari Bandar Rembau, Negeri Sembilan. Disebabkan namanya yang unik & pelik, ia antara kampung paling dikenali/popular di Negeri Sembilan. Tidak hairanlah, Kampung Bongek ini pernah didokumentasikan dalam rancangan Galeri Nasional TV1 pada tahun 2009.

Dari segi maksud perkataan “Bongek” itu sendiri ia tidak terdapat dalam Kamus Dewan (Edisi Ketiga/Edisi Baru, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 1997) mahupun Kamus Besar Bahasa Indonesia, (Edisi Kedua, terbitan Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia/Balai Pustaka, tahun 1995). Walaubagaimanapun, perkataan itu sering diucap oleh orang-orang yang berasal dari Kampar dan Kuantan (kedua-dua suku kaum itu berasal dari Sumatera, Riau Daratan). Sungguh pun perkataan ‘bongek’ tidak terdapat dalam kedua-dua kamus yang tersebut, menurut takrif orang tua-tua Melayu (tahun 1950an) ialah ‘perut buncit atau perut besar yang tidak seimbang dengan bentuk tubuh’.

bongek rembau negeri sembilan

Walaubagaimanapun, istilah tersebut tiada kaitan dengan asal-usul Kampung Bongek. Wujudnya kampung ini dipercayai pada awal tahun 1773 ketika kedatangan Raja Melewar dari Pagar Ruyong yang dijemput oleh Undang yang empat untuk menjadi raja di Negeri Sembilan. Sememangnya lumrah masyarakat zaman dahulu untuk membina penempatan berdekatan sungai kerana mereka menjadikannya sebagai panduan arah laluan atau jalan ke penempatan lain. Dan berpandukan kepada sungai, empat suku utama iaitu Seri Lemak, Tanah Datar, Acheh dan Paya Kumbuh berpecah mencari penempatan sendiri. Suku Acheh telah singgah di dua lokasi berbeza yang kini dikenali sebagai Pulau Acheh dan Bongek Acheh.

Menurut cerita Haji Basri Hasan seorang pesara guru yang juga anak jati kampung Bongek, asal usul Kampung Bongek ini diperolehi hasil gabungan 2 perkataan iaitu “Boncah” dan “Jangek”. Boncah ialah paya manakala Jangek itu pula ialah sejenis makanan yang dihasilkan daripada kulit lembu.

bongek rembau negeri sembilan

Tapi bagaimana Boncah dan Jangek disatukan dan menjadi sebutan Bongek? Mengikut cerita Haji Hassan lagi, semasa kedatangan Raja Melewar, pengikutnya membuat penempatan di kampung tersebut yang berhampiran dengan Astana Raja dan Kampung Penajis di mana Raja Melewar mula ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama. Disana mereka memenemui Boncah atau paya yang mempunyai air panas dan disebut “air hangek”.

Orang Minangkabau yang berhijrah itu sangat popular dengan makanan yang diperbuat daripada kulit lembu. Makanan yang dibuat dari kulit lembu itu dibasuh menggunakan “air hangek” pada boncah dan disebut pula sebagai “Jangek”. Setiap kali penduduk mahu membuat makanan tersebut mereka perlu ke Boncah, dan sebutan boncah dan jangek digunakan “Nak ke boncah mencuci jangek”.

bongek rembau negeri sembilan

Oleh kerana perkataan Boncah dan Jangek sering digunakan. maka lama-kelamaan sebutan itu dipendekkan kepada Bo-ngek nama oleh kerana tempat itu belum mempunyai nama maka penduduk menamakannya sebagai Bongek. Ada juga yang mengatakan perkataan Bo-ngek itu sendiri datang daripada kombinasi perkataan Boncah dan Air Hangek dimana bila disebut secara berulang kali akan menjadi Bon-Ngek.

bongek rembau negeri sembilan

Sungguhpun cerita tersebut sudah lama berlalu namun air panas pada boncah di kampung Bongek masih kekal sehingga sekarang. Orang ramai boleh melihat sendiri kewujudan mata air panas di kawasan paya yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama perkampungan itu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.