Bas Terbabas Ke Dalam Parit, Elak Kereta Buat Pusingan U

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

KUALA PILAH, 31 Jan - “Saya hanya fikir nyawa penumpang termasuk bayi berusia empat bulan yang berada di dalam bas,” kata pemandu bas ekspres sebuah syarikat, Ahmad Tarmimi zulkefley, 28.

Bas terbabas dan memasuki ke dalam parit di Kilometer 19 Jalan Seremban-Kuala Pilah pagi tadi. FOTO - Sinar Harian

Ahmad bersama 24 penumpang telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 21 Jalan Seremban - Kuala Pilah, jam 9.40 pagi tadi setelah bas dipandunya terbabas ke dalam parit, gara-gara mengelak sebuah kereta Proton Gen 2 yang membuat pusingan U.

Menurutnya, kereta tersebut dari arah kiri dan membuat pusingan U secara tiba-tiba ke arah Seremban.

“Saya dari arah Seremban menuju ke Pekan Pilah sebelum berhenti di hentian bas Bahau jam 10.30 pagi. Jam 9 pagi telah bertolak dari Seremban. Setibanya di lokasi, saya nampak sebuah kereta dari kiri jalan membuat pusingan U dan memang tidak sempat menekan brek.

“Saya terus paut stereng ke kanan dan berlaku pergeseran antara bas dan kereta hingga bas terbabas lalu terjunam ke dalam parit. Waktu itu semua penumpang menjerit dan saya hanya fikir keselamatan mereka sahaja, dan jika bertembung dengan kereta, mungkin kemalangan lebih teruk berlaku,” katanya ditemui di lokasi kemalangan.

Berpengalaman selama lima tahun memandu bas, Ahmad memberitahu, pemandu kereta berkenaan sempat meminta maaf dan mengakui kesalahannya.

“Pemandu lelaki berusia 30-an tidak perasan ada bas ketika dia membuat pusingan U dan keretanya hanya calar di bahagian belakang kereta. Syukur kemalangan ini tidak melibatkan kecederaan dan semuanya selamat,” katanya.

Jelas Ahmad, kesemua penumpang telah menaiki bas lain untuk ke Pekan Pilah dan Bahau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Haslah Bachok, mengesahkan kejadian tersebut.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (31 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.