150,000 Kotak Rokok Seludup Dirampas JKDM Negeri Sembilan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

SEREMBAN, 20 Nov - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan menyeludup 150,000 kotak rokok melalui jalan udara membabitkan anggaran cukai RM2.1 juta, minggu lalu.

Rokok berjenama Canyon yang tiba melalui penerbangan kargo dari Ho Chi Minh, Vietnam itu dirampas di MAS Cargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 6 petang, 13 November lalu.

Pengarah JKDM Negeri Sembilan Datuk Abdullah Jaapar berkata, ketika serbuan dilakukan barangan terbabit yang diikrarkan sebagai barangan am dan pelbagai itu baru melepasi proses dokumentasi di terminal kargo.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui 150,000 kotak rokok bernilai RM240,000. Pasukan menyita rokok berkenaan kerana disyaki diimport tanpa melalui prosedur sah.

“Pemeriksaan mendapati ia dibawa masuk oleh sebuah syarikat perdagangan milik tempatan, namun siasatan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan syarikat berkenaan tidak wujud,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

Abdullah berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya masih giat mengesan pemilik syarikat yang dipercayai menjadi dalang penyeludupan berkenaan.

Katanya, rokok berkenaan dipercayai diimport dari luar negara untuk pasaran tempatan kerana permintaannya yang tinggi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan supaya menghubungi talian bebas tol JKDM 1-800-88-8855.

Penolong Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Abdul Rashid Mokhtar menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas pada sidang media di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan. - Foto Harian Metro Online

SUMBER - Petikan berita daripada Harian Metro Online (20 November 2025 @ 12:35 PM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.