Penduduk Asal Negeri Sembilan Sebelum Kedatangan Orang Minangkabau

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Sebelum kedatangan orang Minangkabau, daerah-daerah Negeri Sembilan telah pun mempunyai penduduk asli dari kumpulan Melayu-Proto. Menurut cerita tempatan, penduduk awal Negeri Sembilan ialah orang asli atau juga disebut ‘orang darat’. Mereka juga digelar sebagai ‘Rayet Utan’.

Kegiatan seharian mereka ialah berburu, memungut hasil hutan dan bercucuk tanam khususnya padi bukit. Mereka duduk secara berkelompok kecil dan diketuai oleh seorang ketua bergelar ‘Batin’. Mereka mengamalkan kepercayaan animisma’. Ketua bagi setiap daerah ini dikenali sebagai Batin.

Orang Minangkabau yang datang kebanyakannya telah berkahwin dengan wanita Jakun. Daripada perkahwinan ini juga orang Jakun telah di Islamkan oleh orang Minangkabau. Masyarakat orang Jakun yang telah menganut agama Islam dan hidup bersama di kampung orang Minangkabau telah diberi nama baru iaitu ‘Orang Biduanda’.

Namun begitu ada pendapat lain seperti sejarawan barat, J.M. Gullick yang mendakwa bahawa perkahwinan di antara orang Minangkabau dengan orang asli hanyalah satu legenda dan beliau berpandangan bahawa orang asli telah berundur ke gunung atau bukit apabila orang Minangkabau tiba. Orang asli hanya mempunyai sedikit hubungan dengan orang Minangkabau.

Walaubagaimanapun Penghijrah Minangkabau sendiri telah memperakui tentang adanya penduduk asli sebelum dan semasa mereka sampai di daerah-daerah Negeri Sembilan. Pengakuan mereka ini telah dikanunkan di dalam teromba atau perbilangan yang berbunyi:

Perbilangan tersebut mengisahkan tentang penduduk tempatan semasa kedatangan orang Minangkabau. Ungkapan ‘gagak hitam’ dan ‘gagak senoi’ tersebut bermaksud Orang Asli. Perkataan ‘Bukit’ menggambarkan tempat tinggal masyarakat Orang Asli yang terletak di kawasan hutan di pedalaman (atau di kawasan bukit). ‘Bangau Putih’ pula bermaksud orang pendatang Minangkabau yang datang dari laut atau lebih jelas daripada Selat Melaka.

Mereka datang mungkin dengan menggunakan perahu layar yang di dalam perbilangan tersebut dilambangkan sebagai ‘berkepak bersayap’. Asal-usul tempat dan arah mana datangnya kedua-dua puak tersebut telah digambarkan dengan katakata ‘gagak’, ‘hitam’, ‘senoi’ dan ‘berkaki empat’ yang melambangkan suatu pencapaian taraf hidup yang masih rendah. Manakala perkataan ‘bangau’,’putih’ dan ‘berkepak sayap’ adalah simbol menyatakan tamadun puak mendatang adalah agak tinggi.

Menurut pendapat sejarawan barat Wilkinson, dikatakan tempoh di antara tahun 1450 hingga 1600 Masihi merupakan ‘Zaman Sakai’ (Sakai Period). Menurutnya, terdapat empat buah negeri Sakai iaitu Klang, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol. Kesemua daerah ini terletak di bawah naungan Kerajaan Melayu Melaka dan kemudiannya kerajaan Johor.

Kedatangan orang-orang Minangnkabau ke Negeri Sembilan di zaman keagungan Empayar Melayu Melaka sememangnya telah membawa sama kebudayaan ibunda mereka, sekaligus merubah kehidupan penduduk-penduduk asal Negeri Sembilan.

Pertembungan budaya Minangkabau dan penduduk asli Negeri Sembilan telah melahirkan tamadun yang lebih kepada aturan hidup Minangkabau sehingga melenyapkan sama sekali budaya dan sistem sosial penduduk Asli.

Kepercayaan adanya penduduk asli Negeri Sembilan sebelum kedatangan orang-orang Minangkabau boleh digalurkan dengan nama-nama asal keturunan Penghulu-Penghulu Luak seperti; Batin Bercanggai Besi, Batin Sibu Jaya, To’ Jenang Jelondong dan lain-lain.

Gelaran Batin dan Jenang ini hanya terdapat dalam sistem sosial Orang Asli, dimana hingga sekarang mereka sememangnya mempunyai pertalian yang erat dengan ‘Teromobo’ (salasilah) keturunan Datuk-Datuk Undang dan Datuk-datuk Lembaga di Negeri Sembilan. Banyak pendapat mengenai ‘terombo’ berhubung dengan salasilah ketua-ketua waris kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan tersimpan pada Batin-batin (Ketua Orang Asli) di Negeri Sembilan. Mereka sememangnya pandai berbilang mengenai Adat Perpatih malah jangan terperanjat pula kerana sesetengahnya lebih pandai dari orang-orang Melayu sendiri.

Sumber - Sejarah Pengamalan Adat Perpatih Di Negeri Sembilan (Oleh: Rosiswandy Bin Mohd. Salleh) dari Muzium Adat Jelebu, Negeri Sembilan; Payung Yang Terkembanga (A. Samad Idris)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.