Medan Selera Pertama Berhawa Dingin Di Negeri Sembilan

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

ARKED Mara di Jalan Tuanku Munawir, Seremban yang beroperasi sejak November lalu, kini berubah wajah apabila turut dilengkapi medan selera berhawa dingin pertama di Negeri Sembilan.

Suasana di medan selera Arked Jalan Tuanku Munawir. Foto - Sinar Harian

Timbalan Pengarah Mara Negeri Sembilan (Pembangunan), Mohd Fadil Senan berkata, bangunan tiga tingkat berkenaan yang dibina dengan kos RM5 juta mempunyai lapan lot kedai yang menjual pelbagai jenis menu.

“Bangunan ini diruntuhkan dan dibina baru dengan konsep lebih moden bermula pada 2015. Pembinaan siap sepenuhnya pertengahan tahun lalu. Ia memberi lebih keselesaan kepada pengunjung untuk menjamu selera dalam suasana lebih selesa kerana dilengkapi dengan penghawa dingin,” katanya.

Menurutnya, seramai 100 pengunjung ditempatkan dalam satu masa. selain terdapat pelbagai kemudahan disediakan; antaranya surau dan tangga bergerak.

Selain itu, katanya, tingkat bawah bangunan menempatkan lima lot kedai yang menjual gajet termasuk perkhidmatan MyEG Services Berhad (MyEG).

“Manakala tingkat tiga pula menyediakan ruang perniagaan seperti percetakan, kedai buku, butik pakaian dan spa yang dijangka mula beroperasi Mac ini. Medan selera di sini pula mula dibuka seawal jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari,”katanya kepada media selepas membuat lawatan di lokasi berkenaan.

Harga Sewa Berpatutan

Usaha Mara menaik taraf bangunan berkenaan turut disambut baik peniaga di situ.

Arked Mara Jalan Tuanku Munawir kini sudah mula beroperasi. Foto - Sinar Harian

Zarith Sofea Dora Mat Samoin, 35, berkata, dia mula menjadi usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejak dua tahun lalu dan menerima banyak manfaat melalui pelbagai kursus keusahawan disediakan.

“Saya bersyukur kerana dapat peluang berniaga di tempat ini yang bukan saja selesa tetapi juga strategik. Cuma tak dinafikan pengunjung agak kurang mungkin disebabkan masalah parkir dan ramai yang masih belum tahu terdapat medan selera di tingkat dua bangunan ini,” katanya yang menjual menu makanan barat.

Bagaimanapun, katanya, dia mengambil inisiatif memudahkan pelanggannya untuk membeli dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu.

Seorang lagi peniaga, Munirah M Latif, 34, berkata, kadar sewa di premis terbabit sangat berpatutan lebih-lebih lagi lokasinya di kawasan bandar.

“Pihak Mara juga memberi potongan kadar sewa sebanyak 50 peratus sehingga Mac 2019. Jadi, ia amat bantu kami yang masih baru memulakan perniagaan. Saya harap lokasi ini akan jadi salah satu tempat pilihan warga Seremban untuk menjamu selera,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (15 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.