SEREMBAN, 15 Jan – Fenomena cuaca sejuk yang melanda negara termasuk di negeri ini menyebabkan perkhidmatan kedai dobi layan diri mula menjadi tumpuan terutama untuk perkhidmatan cucian kering.
Tinjauan sebuah akhbar tempatan di beberapa kedai dobi layan diri di daerah ini semalam mendapati, kunjungan orang ramai bagi mendapatkan perkhidmatan itu meriah berbanding biasa.
Pelanggan, Azlan Nawi, 32, berkata, sudah menjadi kebiasaannya setiap kali hujung minggu untuk membasuh pakaian dalam kuantiti yang banyak di kedai dobi layan diri kerana lebih selesa dan cepat.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut kerana terpaksa beratur untuk menunggu giliran untuk menggunakan perkhidmatan cucian kering.
“Biasanya, jika saya datang jam 10 pagi, keadaan lengang saja. Tapi, hari ini (semalam), full house sehinggakan nak cari tempat letak kereta pun susah.
“Saya tengok ramai yang nak guna mesin keringkan pakaian. Iyalah, dengan keadaan cuaca sejuk sekarang, nak keringkan pakaian pun ambil masa yang lama,” katanya.
Begitu juga dengan F. Selvanayagi, 28 yang menggunakan perkhidmatan kedai dobi semata-mata untuk keringkan pakaian yang sudah pun dibasuh di rumah.
“Dengan keadaan cuaca sekarang, saya kena tunggu berhari-hari nak keringkan pakaian. Sudahlah keluarga kami ramai, bayangkan keadaan ampaian baju di rumah saya.
“Sebab itu saya dan kakak ipar buat keputusan keringkan pakaian berbakul-bakul di kedai dobi saja kerana ia lebih cepat dan boleh terus dilipat,” katanya ketika ditemui oleh wartawan di sini, semalam.
Selain itu Mian Chu, 36, pula berkata, disebabkan berserabut melihat pakaian terlalu banyak bersidai di rumah, dia memilih menggunakan perkhidmatan cucian kering di kedai dobi.
Menurutnya, sejak kelmarin dia mendapati kedai dobi yang biasa dikunjunginya di Seremban 2 di sini, penuh berbanding biasa.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (15 JANUARI 2018)









