BAHAU, 15 Jan - Majlis Daerah Jempol (MDJL) akan menggunakan kaedah pembaikan berlainan di Kawasan Perindustrian Bahau yang didakwa rosak selepas dibaiki.
Lokasi jalan yang didakwa rosak di Kawasan Perindustrian Bahau. Foto - Sinar Harian
Yang Dipertua MDJL, Datuk Zazali Salehudin berkata, lokasi yang didakwa terlibat itu mengalami kerosakan yang teruk, sebelum pembinaan jalan dilakukan.
“Terdapat kawasan lopak air dan berlubang di situ. Kita sudah mengorek dan meletakkan ‘crusher run’ ataupun batu baur untuk atasi masalah tersebut tetapi masih ada masalah air dalam tanah.
“Keadaan itu menyebabkan jalan mudah rosak. Pihak majlis akan gunakan kaedah pembaikan lain bersesuaian dengan kawasan tersebut.
“Manakala dakwaan kualiti kurang memuaskan pula adalah tidak munasabah. Ini kerana semua kawasan yang diturap pada masa sama juga akan rosak seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Zazali yang juga Pegawai Daerah Jempol berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima sebarang aduan dengan menyalurkannya melalui saluran yang disediakan.
“Kita juga komited dan konsisten menggunakan pendekatan turun padang dan menawarkan perkhidmatan.
“Sepertimana yang saya jelaskan sebelum ini bahawa semua agensi di bawah Pentadbiran Daerah Jempol menjadikan 2018 sebagai tahun yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan jalan di Kawasan Perindustrian Bahau rosak kembali selepas ia dibaiki dua bulan lalu.
Adun Bahau, Chew Seh Yong bagaimana pun berkata, pihaknya berharap MDJL dapat melaksanakan kaedah sesuai untuk membaiki jalan di kawasan itu selain mengambil kira beberapa faktor berkaitan.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (15 JANUARI 2018)









