SEREMBAN, 27 Sept – Seorang lelaki warga emas maut dipercayai terjatuh dari tingkat 14 Pangsapuri Templer, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Lim Huat Mon, 74, dari Seremban itu, ditemui mati oleh sekumpulan lelaki yang sedang berbual di tingkat bawah.
Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar berkata, ketika dia dan kawan-kawan sedang berbual secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat.
Kesan darah di tingkat bawa tempat mangsa ditemui maut di Pangsapuri Templer, semalam.
“Saya ingat bunyi dahan pokok tumbang, kami terus pergi ke depan dan kemudiannya ternampak seorang lelaki terbaring dengan berlumuran darah. Habis semuanya berkecai, saya terus hubungi polis untuk minta bantuan,” katanya.
Mangsa kemudiannya di bawah ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan kejadian berlaku.
Sumber - Sinar Harian Online (27 September 2025)
















