KUALA PILAH, 16 Jan - Seorang wanita maut setelah kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori kargo sedang berhenti di Kilometer 17 Jalan Seremban -Kuala Pilah awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, Hamidah Awang, 58, ibu mertua kepada pemandu kereta Honda City, Muhammad Hanafe Juhari, 26, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala manakala Hanafe mengalami cedera ringan.
Pemandu lori itu, Hafizudeen Abd Ghani, 34, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, Hamidah bersama menantunya dari Marang, Terengganu dikatakan ingin menziarahi anaknya di Nilai, Negeri Sembilan.
“Setibanya di lokasi, kenderaan yang dinaiki mereka telah merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang parkir di bahu kiri jalan. Akibat rempuhan, mangsa, parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian. Mayat telah dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk bedah siasat,” katanya.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa di dalam kereta Honda City. Foto - Sinar Harian
Jelas Haslah, ketika kejadian, keadaan jalan lurus mendaki, permukaan jalan kering dan cuaca dalam keadaan baik namun gelap.
Dalam pada itu, katanya, rempuhan kuat itu mengakibatkan kereta Honda City dinaiki mangsa remuk di bahagian hadapan sebelah kiri manakala lori terbabit mengalami rosak bahagian belakang sebelah kanan serta tayar bengkok.
“Justeru, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Difahamkan, Hamidah meninggalkan suami serta enam orang anak dan jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Lui Selatan selepas solat Asar.
Sementara itu, ahli keluarga yang ditemui di perkarangan rumah mayat HTAN enggan ditemubual berikutan masih sedih.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (16 JANUARI 2018)
Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com
Orang Nogori














