TAMPIN, 2 Feb - Dari hanya perhentian ‘koboi’ tanpa bumbung yang kemudiannya siap dinaik taraf pada 1997 menjadi sebuah bangunan menempatkan perkhidmatan bas dan pelbagai aktiviti perniagaan, Perhentian Bas Tampin kini bakal tinggal kenangan.
Dalam tempoh masa setahun, khidmat perhentian bas itu dikatakan bakal dipindahkan ke lokasi baharu yang diberikan nama Sebang Sentral.
Memetik daripada laporan akhbar Sinar Harian, 23 Januari lalu melaporkan Pulau Sebang akan berubah wajah menjadi sebuah bandar baharu menjelang tahun hadapan, dengan pembinaan Sebang Sentral yang menggantikan Perhentian Bas Pulau Sebang Tampin sedia ada kini.
Bandar yang diwujudkan di tengah sempadan Melaka dan Negeri Sembilan itu bakal menyaksikan penjenamaan semula Pulau Sebang yang selama ini dibayangi bandar Tampin.
Perhentian Bas Tampin yang bakal dipindahkan ke lokasi baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pembinaan terminal pengangkutan awam berkeluasan 0.6 hektar bernilai kira-kira RM5 juta dijangka siap pada Januari 2019, bakal menaikkan nama Pulau Sebang.
Hentian bas di tengah sempadan dua negeri
Berita baik itu mendapat respons positif daripada pengguna pengangkutan awam seperti kereta api kerana mendekatkan jarak mereka untuk menaiki kemudahan awam itu setelah menggunakan khidmat bas.
Keadaan Perhentian Bas Tampin yang akan tinggal kenangan apabila Sebang Sentral siap tahun hadapan. FOTO - Sinar Harian
Bagaimanapun, tidak kurang ada yang terusik apabila memori perhentian bas yang terletak di tengah sempadan dua negeri itu bakal tinggal kenangan.
Menurut peniaga gerai makanan, Mohamad Jibrail Hanifah, 60, dia sudah sebati dengan perhentian bas itu memandangkan sejak daripada awal dia berniaga masakan panas, lokasi perniagaannya adalah di perhentian berkenaan.
“Masa dulu berniaga di bawah. Lepas tu tahun 1993 perhentian bas ini nak dinaik taraf. Kami dipindahkan sementara ke tapak taman tema Negeri Sembilan. Pada 1997, bangunan ini siap dan kami dipindahkan kembali ke sini.
“Memang banyak kenangan Masa mula pindah perniagaan ok, tempat juga strategik. Lama kelamaan orang pindah sebab tak nak berniaga atas faktor uzur, sakit tua, perniagaan tak jalan dan tak laku. Bagaimanapun, saya masih kekal berniaga di sini kerana dah sebati dengan suasana perniagaan di sini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, sekiranya lokasi berkenaan akan dinaik taraf, dia juga sedia untuk kekal berniaga di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, sekiranya diarahkan berpindah dia juga akan menuruti arahan berkenaan. Kalau naik taraf kemudahan ini pun baik sebenarnya, buat balik bagi cantik dan menarik. Lokasi yang berada di tengah pekan memudahkan orang ramai ke pasar dan juga pelajar dari tiga sekolah berdekatan,” katanya.
Guna Perhentian Bas Tampin sejak 1964
Bagi warga emas, Jaafar Ujang, 75, dia mempunyai banyak kenangan manis ketika menggunakan perkhidmatan bas di perhentian berkenaan sejak dari 1964.
Menurutnya yang berasal dari Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka, dia kini bersama isteri, Samsiah Daud, 70, masih menggunakan perkhidmatan berkenaan sekurang-kurangnya setahun sekali untuk pulang ke kampung dari Seremban.
“Dulu perhentian ni mudah saja. Tak ada atap, tak ada bumbung. Sekarang dah makin baik. Saya kadang pulang dengan anak tapi kadang-kadang nak juga imbau memori naik bas ni dengan isteri. Tempat ni pun memang strategik dan saya dah biasa. Kalau kena pindah ke tempat baru yang lebih luas dan selesa tak mengapa sebab perkhidmatan bas ni perlukan tempat yang luas dan yang lebih baik”.
Kata Jaafar, semasa musim perayaan kebiasaan perhentian bas akan menjadi sesak dan perhentian baharu yang bakal menggantikan perhentian sedia ada perlulah lebih baik dari yang sedia ada.
Zainal berniaga apam balik sejak lebih 30 tahun lalu di kawasan sempadan Tampin, Negeri Sembilan dan Pulau Sebang, Melaka. FOTO - Sinar Harian
Sementara itu, bagi peniaga apam balik, Zainal Aripin, 59, dia sudah lebih 30 tahun berniaga apam balik di kawasan bersempadan Tampin Negeri Sembilan dan Pulau Sebang, Melaka itu.
Menurutnya, dalam tempoh masa berkenaan banyak perubahan yang dilihatnya di lokasi tersebut termasuk perpindahan lokasi perhentian bas sementara kawasan sedia ada dinaik taraf.
“Dulu tempat ni hidup, boleh ketawa-ketawa, ada pokok besar. Semua orang bertumpu di sini. Sekarang dah makin banyak pembangunan. Saya pun belum tahu lagi sama ada nak pindah atau tak lepas ni, sebab dah lebih 30 tahun berniaga di sini (kawasan Tampin). Kalau nak pindah lokasi, leceh pula nak buat lesen di tempat lain,” katanya.
Menurutnya, lokasi perhentian bas baharu juga strategik kerana berdekatan kemudahan kereta api.
SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (2 FEBRUARI 2018)















