Jiran Misteri Bantu Dapatkan Bantuan

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

SEREMBAN, 16 Jan - “Terima kasih jiran, kerana kamu rumah saya akan dibaik pulih. Selepas ini, saya sekeluarga boleh tidur lena,” kata Abu Salleh, 62, terharu dengan keprihatinan seorang jiran yang dikatakan menghantar surat kepada kerajaan negeri mengenai kedaifannya.

Abu dan lima anak berusia 14 hingga 26 tahun terpaksa berteduh di rumah usang di Kampung Baru Bukit Temiang, Seremban, yang beratapkan langit kerana tidak mampu menggantikan bumbung yang bocor sejak lima tahun lalu.

Ada kalanya, keluarga itu berteduh dalam bilik utama selain bermalam dalam kereta ketika hujan.

Menurut Abu, dia terkejut apabila diberitahu ada individu mengaku jiran menghantar surat mengenai keadaan rumahnya kepada Pejabat Menteri Besar pada November tahun lalu.

Pengerusi MCA Bahagian Seremban, Siow Koi Voon (kiri) melawat rumah Abu (dua dari kanan) yang daif di Kampung Baru Bukit Temiang, Seremban. - Foto Berita Harian.

Berikutan keprihatinan jiran misteri terbabit, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan membaik pulih rumah pusakanya yang berusia 60 tahun itu sebanyak RM20,000.

“Saya tidak tahu siapa individu yang berhati mulia itu. Saya tidak sangka masih ada insan sepertinya sekarang ini. Saya menghargai jasa murninya yang sanggup menulis surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memastikan masalah saya sampai ke peringkat tertinggi. Tiada apa yang mampu saya balas, cuma doa dititipkan buatnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Abu ditemui ketika lawatan Pengerusi MCA Bahagian Seremban Siow Koi Voon dan beberapa pegawai pejabat daerah serta jurutera.

Sementara itu, Siow berkata, kerja baik pulih itu dijangka mengambil masa dua bulan dan beliau yakin sebaik siap kelak, ia dapat memberi keselesaan buat keluarga terbabit.

SUMBER - Petikan berita daripada Harian Metro Online (16 January 2026 | 4:27 PM)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.