Sang Hyang Hujung, Kepala Tuhan

Sang Hyang Hujung wujud di dalam catatan Nagarakartagama semasa era pemerintahan kerajaan Majapahit yang ditulis dalam tahun 1365. Ia ditulis sebagai ‘Suneujon’ di dalam rekod peta dan kartografi Eredia seawal 1613.

Sang Hyang Hujung, Kepala Tuhan

Peta lakaran Emanuel Godinho De Eredia (1602) menunjukkan kawasan ‘Suneujon’ yang menunjukkan kawasan Sungai Ujong pada waktu itu.

Di dalam Sulalatus Salatin ia ditulis sebagai سنيڠ هوجڠ kemudian dirumikan dalam Sejarah Melayu versi Shellabear sebagai ‘Sening Ujong’, manakala versi Leyden ia dieja sebagai ‘Senyang Ujong’.

Rekod-rekod ini jelas menunjukkan bahawa Sang Hyang Hujung pernah berada di bawah ini terletak di bawah penguasaan beberapa kerajaan besar bermula dari kerajaan Srivijaya, Majapahit dan kemudiannya sebagai wilayah di dalam Kesultanan Melayu Melaka.

Sang Hyang Hujung, Kepala Tuhan

Sang Hyang Hujung yang bermaksud ‘Kepala Tuhan’ pernah ditulis oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1880 sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang sehingga Linggi, berselari dengan kawasan Tanjung Tuhan atau Tanjung Tuan kini, yang ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.

Jika dikaji pada kedudukan geografi, titik tengah antara dataran yang menganjur dari utara ke selatan inilah terletaknya bandar Seremban, yang nama asalnya ialah Sungai Ujong.

Sang Hyang Hujung, Kepala Tuhan

Menuskrip Nagarakretagama merupakan puisi Jawa kuno yang menerangkan keadaan di kraton Majapahit ketika tempoh pemerintahan Hayam Wuruk, raja agung di tanah Jawa dan juga Nusantara. Beliau bertakhta dari tahun 1350 sampai 1389 Masihi. Pada kemuncak kegemilangannya, kerajaan Majapahit merupakan kerajaan terbesar yang pernah wujud di Nusantara.

Hari ini, nama Sang Hyang Hujung atau Sungai Ujong diabadikan di dalam nama salah satu dari empat luak di Negeri Sembilan iaitu Luak Sungai Ujong.

Ia menerangkan mengapa sebelum British tiba mencampuri urus tadbir Tanah Melayu, Luak Sungai Ujong asalnya ditadbir oleh dua nakhoda iaitu Dato’ Kelana Petra dan Dato’ Syahbandar, membezakan pentadbiran luak ini dengan luak-luak lain di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu. Dato’ Kelana Petra adalah gelaran bagi penghulu yang menguasai wilayah daratan, manakala Dato’ Syahbandar pula adalah gelaran bagi penghulu yang menguasai wilayah laut.

Penjelasan ini turut menjawab mengapa tidak pernah ada sungai yang mengalir di dalam daerah Seremban ini dengan nama Sungai Ujong.

Di bawah ialah bait syair Jawa yang menyebut nama kawasan Sang Hyang Hujung dalam menuskrip Nagarakartagama.

Sang Hyang Hujung, Kepala Tuhan

RUJUKAN:

  1. JSBRAS Vol 53 ‘ Notes On Malay History’ oleh Blagden, 1909
  2. JMBRAS Vol 22 ‘Sungei Ujong’ oleh J.M. Gullick, 1949
  3. Negara Kartagama: Masa Keemasan Majapahit oleh Ketut Riana, 2009

SUMBER – Dipetik daripada penulisan, Khairul Ashraf Muhamad (KAM)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.