Sejarah & Khasiat Air Jando Pulang, Minuman Tradisi Negeri Sembilan

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Nama “jando” atau janda pada minuman ini menimbulkan seribu persoalan terutama bagi mereka yang tidak pernah mendengar dan mengetahuinya. Air Jando Pulang yang mudah didapati di kebanyakan tempat di Kuala Pilah khususnya, menjadi tarikan ramai termasuk dari luar untuk merasai kenikmatan bagi menghilang dahaga.

Sepanjang jalan dari Ulu Bendul menuju ke Kuala Pilah, promosi mengenainya di papan-papan tanda memanggil-manggil orang ramai yang lalu di situ untuk mencubanya. Pemilihan nama janda pulang itu mungkin menjadi persoalan dari kebanyakan orang sama ada benarkah ramai golongan janda di Negeri Sembilan? ataupun ia ada kaitan dengan Janda yang membuat air ini.

Bagaimana Air Jando Pulang Mendapat Nama

Tiada catatan yang menunjukkan bagaimana air ini mendapat namanya. Tetapi berdasarkan cerita lisan, ada mengatakan nama air tersebut diperoleh daripada kisah suatu ketika dahulu dimana ada sepasang suami isteri yang telah bercerai dan apabila si bekas suami datang melawat anak mereka di kampung, bekas isterinya akan menjamu air tersebut.

Air Jando Pulang telah diangkat menjadi minuman tradisi Negeri Sembilan. Ia menjadi minuman tradisi orang dahulu kala terutamanya orang atasan di Negeri Sembilan. Air ini juga turut dijamu ketika hari perayaan serta majlis-majlis keramaian. Sekarang ia boleh didapati di pasaran terutamanya di Kuala Pilah.

Versi Pembuatan Air Jando Pulang

Terdapat dua versi dalam membuat Air Jando Pulang. Versi pertama terasnya adalah air kelapa dan gula enau manakala versi kedua terasnya ialah air kelapa dan sirap.

Cara pembuatan bagi Versi Pertama yang lebih asli ialah bahagian bawah sebiji kelapa muda ditebuk besar dan dikeruk isinya menggunakan sudu dan dipindahkan ke bekas yang lain. Airnya dipindah dan dicampur nira enau yang cair mengikut secukup rasa, lalu dikacau hingga sebati. Air yang sudah dikacau sebati itu dimasukkan semula ke dalam kelapa yang asal serta dimasukkan buah beluluk yang dalam bentuk halwa ataupun yang sudah diproses. Buah beluluk yang sudah diproses atau dijadikan halwa dan dimasukkan dalam Air Jando Pulang berperanan sebagai pengimbang rasa bagi mengelakkan terlalu manis atau loya.

Setelah dikacau kembali di dalam kelapa tadi hingga sebati baharulah dinikmati seenaknya. Apabila dikaitkan proses keluar masuk pembuatan air ini dengan sejarah yang diceritakan tadi, ia diibaratkan ‘perpisahan suami isteri dan isteri menjadi janda. Oleh kerana air kelapa hasil air tangan bekas isteri tadi begitu sedap hingga menyebabkan beliau dirujuk semula. Bersatu, berpisah dan bersatu semula.

Minuman ini tidak perlu ditambah gula kerana air kelapa sudah manis begitu juga dengan nira enau dan buah beluluk. Tiga bahan manis yang berlainan ini akan membuatkan rasanya lazat, menarik dan sedap dan di sinilah letaknya keenakan Jando Pulang tersebut.

Sementara itu Air Jando Pulang Versi Kedua yang lebih moden ialah campuran sirap dan air kelapa muda. Sirap yang digunakan mestilah sirap yang dibuat sendiri dan dicampurkan dengan daun pandan, baharulah ia akan terasa wangi apabila menikmatinya. Bagimanapun versi ini tidak dijamin khasiatnya kerana sudah dicampur gula halus dalam sirap. Kadang-kala ada juga yang mahu teras lebih sedap akan dicampurkan dengan susu cair sedikit. Versi ini agak mudah untuk menyiapkan kerana bahan-bahan senang didapati.

Khasiat Air Jando Pulang

Bagi sesetengah orang yang pertama kali mencuba minuman versi pertama ini mungkin mengadu sakit tekak, rasa loya, pening kepala dan rasanya terlalu manis, mungkin kerana penggunaan gula enau. Walaubagaimanapun, khasiat yang terdapat dalam air ini memang telah dipercayai sejak dahulu lagi.

Menurut pendapat dan amalan orang tua-tua, apabila tiga jenis bahan yang asli iaitu air kelapa, nira enau dan buah beluluk disatukan menjadi Air Jando Pulang, ia boleh mengubati pelbagai jenis penyakit terutama kencing manis, sakit dalam perut dan kencing tidak lawas. Kemanisan asli bahan tersebut datangnya daripada kebesaran Allah S.W.T

Apabila ia dibuat dengan penuh adab dan tertib serta mendahulukan akan kebersihan maka ia akan dinikmati dengan begitu lazat sekali. Bila sekali mencuba sudah pasti akan ingin mengulangi untuk kali yang kedua.

Kesedapan aroma minum Air Jando Pulang ini mesti dalam kelapa yang sama juga dan ada pendapat mengatakan jika minum dalam gelas kaca atau plastik aromanya akan hilang dan semangatnya akan sama seperti minum air Coconut Shake sahaja.

Walau apapun, Keaslian Air Jando Pulang ini perlulah dikekalkan dan tidak perlulah kiita meniru cara orang lain kerana Air Jando Pulang adalah asli dari Negeri Sembilan dan tidak diceduk dan disesuaikan dari tempat lain. Campuran yang ada dalam minuman ini juga adalah melambangkan penyatuan, kesepakatan serta tidak melupakan nilai kekeluargaan seperti mana papatah petitih:

Sumber - Dipetik daripada kpdnkk.bernama.com (Hasil temubual pengkaji sejarah Negeri Sembilan, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.