Selangor pada kurun 18-19 meliputi: Sungai Bernam (Sabak Bernam, Hulu Bernam), Sungai Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor), Sungai Klang (Klang, Hulu Klang), Sungai Langat (Kuala Langat, Hulu Langat), Sungai Linggi (Lukut, Linggi). Setiap daerah-daerah ini diperintah oleh sullewatang (wakil daerah) yg berkerabatan langsung dengan Sultan Selangor.
Sekitar tahun 1863, Raja Abdullah Bin Raja Jaafar (Orang Besar Klang) dan Dato’ Kelana Sending telah berunding mengenai pertelingkahan sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujong. Turut hadir dalam perundingan itu ialah orang-orang British Residen Melaka, Kapten Playfair, yang bersahabat baik dengan Dato’ Kelana Sending.
Masalah sempadan di antara negeri Selangor dengan Sungai Ujong berpunca bila orang-orang Bugis mulai bertapak dan berpengaruh di Selangor di awal abad ke-18. Seperti pepatah lama yg berbunyi:
“Di mana Ada pantai, di situ lah adanya orang Bugis.”
Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah di dalam Negeri Sembilan tetapi telah menjadi wilayah Selangor semasa orang-orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sending. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu. Dalam tahun 1862, Dato’ Kelana Sending telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana Negeri Selangor mengambil Sungai Linggi dan Tanjung Tuan. Ekoran daripada Itu, negeri Sungai Ujong tidak mempunyai kawasan pantai disebabkan semuanya telah diduduki Selangor dan Bugis. Manakala di selatannya telah masuk Melaka yg didudukki British.
Oleh demikian maka pada tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sending untuk menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut. Dalam rundingan itu Raja Abdullah dengan berat hati terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.
Tiga tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1866, masalah sempadan negeri Selangor – Sungai Ujong timbul semula. Akhirnya pada 11 Julai 1868, Sultan Abdul Samad secara bertulis menyerahkan Sungai Linggi kepada Dato’ Kelana Sending sebagai batas sempadan kedua-dua negeri.
Keputusan ini telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kelang dan Lukut dan akhirnya pertelingkahan terus berlarutan. Sehingga beberapa tahun bertelingkah akhirnya Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah dapat menyelesaikan masalah sempadan kedua-dua negeri itu melalui satu perjanjian pada 10 Februari 1878, satu perjanjian mengenai sempadan Negeri Selangor dan Sungai Ujong dibuat di antara Yang Dipertuan Negeri Selangor – Paduka Sri Sultan Abdul Samad dengan Dato’ Kelana Sungai Ujong – Tunku Syed Abdul Rahman.
Perjanjian itu antara lain menyatakan bahawa:-
- Pertama: Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas (Residen British di Selangor) Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan dan waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah oleh Raja Bot Bin Raja Jumaat dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yang sekarang diperintah oleh Raja Daud Bin Raja Sulaiman, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad dipindahkan kepada Sungai Ujong.
- Kedua: Dengan nasihat Kapten Murray (Residen British di Sungai Ujong) Tengku Saiyid Abdul Rahman Dato’ Kelana Sungai Ujong bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungai Ujong dan bergelar Dato’ Kelana, mengaku bahawa mulai dari saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.
Pendek kata, Selangor menukarkan jajahannya Lukut dan Linggi (sekarang digelar sebagai Port Dickson) kepada jajahan Sungai Ujong iaitu: Labu, Reko, Kajang, Semenyih, Broga dan Beranang.
Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujong itu dapat pula masuk campur dalam hal ehwal Lukut. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujong kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.
Surat persetujuan penyerahan Lukut kepada Sungai Ujong telah dicapai setelah satu rundingan di antara Paduka Sri Sultan Abdul Samad Selangor, Dato’ Kelana Sungai Ujong – Tunku Syed ‘Abdu’l Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri (Waris Hilir), Tunku Klana Petra Sri Jaya, Raja Bot Bin Raja Jumaat (Raja Lukut) dan Raja Daud bin Raja Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah (Penghulu Sungai Raya dan Ulu Langkat) yang telah diadakan di Singapura pada 30 Julai 1880. Melalui persetujuan yang ditandatangani, penyelesaian hal Lukut yang telah dimasukkan ke dalam Daerah Sungai Ujong dapat dimuktamadkan.
Surat persetujuan ini juga menjadi tanda berakhirlah pemerintahan Raja Bot dan ayahya Raja Juma’at ke atas Lukut yang mengambil masa selama 32 tahun. Melalui perjanjian ini juga Raja Bot dan keluarga beliau menerima pampasan wang berjumlah RM27,000.
Pertikaian berkenaan daerah Lukut bermula apabila pada tahun 1862 Y.A.M. Dato’ Sending (Waris Hulu), Dato’ Shah Bandar, Dato’ Klana Petra Sri Jaya, yang menjadi Dato’ Kelana Sungai Ujong menuntut daerah Lukut dan mengatakan Lukut sebahagian daripada daerah Sungai Ujong secara sejarah. Ekoran daripada ini rundingan-rundingan telah diadakan di antara pihak Selangor dan Sungai Ujong akhirnya pada 30 Julai 1880 penyelesaian telah dicapai berkaitan dengan masalah Lukut.
Disebabkan itu bagi keturunan hari ini, majoriti orang Lukut dan Linggi bangga mengakui keturunan mereka sebagai Bugis kerana suatu masa dahulu sememangnya daerah mereka itu milik Selangor. Manakala orang Semenyih, Beranang sememangnya Minangkabau dan lebih setia pada Negeri Sembilan.
Sumber - wangsamahkota.wordpress.com











