Sejarah Sungai Linggi Sebagai Laluan Terpenting Negeri Sembilan

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

Sungai Linggi merupakan antara sungai utama yang berada dalam Negeri Sembilan. Ia bermula dari kaki Banjaran Titiwangsa yang berpunca dari kawasan Kampung Jerlang, dan mengalir melalui kawasan lembangan sekitar Daerah Seremban dan berakhir di Kuala Linggi, Melaka.

sungai linggi

Menurut sumber lisan, dahulu-kala Sungai Linggi boleh dimudik jauh dari pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi. Sungai Linggi menjadi sempadan bagi Negeri Sembilan dan Melaka yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi. Berkemungkinan nama Sungai Ujong itu mengambil sempena hujung atau hulu Sungai Linggi, sungai yang menjadi nadi atau laluan terpenting bagi para pedagang di zaman dahulu. Melalui sungai inilah pelbagai hasil seperti bijih timah dan juga hasil-hasil daripada hutan, sama ada gading gajah, kayu gaharu, damar, barang-barang pertanian dan sebagainya dibawa keluar.

sungai linggi

Lebih kurang 10 kilometer dari kuala Sungai Linggi terdapat sebuah sungai iaitu Sungai Rembau. Di pertemuan kuala Sungai Rembau dengan Sungai Linggi itu terdapat bekas sebuah kota Melayu yang dibina oleh seorang ketua orang Melayu bernama Lebai Kulub. Kota yang dibina pada tahun 1850 bertujuan sebagai pusat memungut cukai bagi segala kapal-kapal dan perahu yang membawa barang dagangan dari arah hulu ke kuala Sungai Linggi.

Kota yang terletak di persimpangan antara kuala Sungai Rembau dengan Sungai Linggi itu dikenali dalam sejarah sebagai Kota Simpang. Nama tersebut diambil sempena letaknya di persimpangan antara dua buah sungai. Kota Simpang sukar dilawati dengan menggunakan jalan darat dan ia memerlukan seorang pemandu daripada penduduk tempatan yang mahir untuk kesana. Justeru cara yang sesuai untuk melawat ke kota lama ini adalah menggunakan perahu melalui Sungai Linggi.

sungai linggi

Lebih kurang lima ribu tahun dahulu, orang-orang dari Pulau Sumatera telah mula berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu. Tempat yang awal mereka pilih ialah di Lembangan Sungai Linggi iaitu sebuah tempat kira-kira 8 kilometer jaraknya dari kuala Sungai Linggi yang dikenali sebagai Pengkalan Kempas. Sekiranya anda berkesempatan ke Pengkalan Kempas, bolehlah melawat di kompleks sejarah yang terdapat disana. Disana anda dapat melihat batu batu hidup peninggalan orang-orang Melayu dari Sumatera yang berusia kira-kira 5,000 tahun lampau. Ada tiga buah tugu batu hidup yang terkenal dengan nama-nama yang disebut Batu Pedang, Batu Sudu dan Batu Kemudi. Batu-batu tersebut dianggap semacam tugu yang dipuja dengan satu kepercayaan yang disebut ‘anamesme’ iaitu kepercayaan bahawa roh-roh daripada ketua atau Tok Batin yang dihormati akan menjelma semula kepada tugu-tugu batu yang mereka bina. Begitulah kepercayaan tradisi yang dianut oleh manusia-manusia awal di dunia Melayu ini sebelum mereka mula meninggalkan zaman pra-sejarah.

sungai linggi

Melihat Sungai Linggi sebagai laluan terpenting pada ketika itu terutamanya untuk mengangkut bijih timah, Belanda, iaitu penjajah barat yang menguasai Melaka sejak tahun 1641 juga tertarik dengan lembangan Sungai Linggi. Lalu dengan muslihat yang begitu pintar, Belanda dapat memujuk Daeng Kemboja, iaitu ketua masyarakat orang-orang bugis yang menguasai lembah Sungai Linggi, supaya berbaik-baik dengan Belanda.

Dengan itu Belanda mula membina sebuah kota di Kuala Linggi. Kota tersebut adalah merupakan pusat pertahanan dan juga tempat mengutip cukai segala macam barangan, terutama bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Linggi.

Kota tersebut yang dibina di atas bukit di tebing kanan mudik Sungai Linggi di tepi laut dinamakan kota Filipina iaitu mengambil sempena dengan nama anak perempuan Jacob Mussel, Gabenor Jeneral Belanda di Batavia (Jakarta 1750-1761). Di dalam kota inilah pada 1 Januari 1758 satu perjanjian persahabatan telah diadakan dengan ketua masyarakat orang bugis iaitu Daeng Kemboja dengan Belanda.

sungai linggi

Melalui perjanjian itu berakhirlah penguasaan orang-orang Bugis terhadap lembangan Sungai Linggi yang terkenal sebagai jalan pengangkutan bijih timah yang terdapat di Sungai Ujung, Rembau dan juga dari Selangor dan Klang.

Kepentingan Sungai Linggi sebagai laluan terpenting terutamanya bijih timah memang tidak dinafikan sehingga menjadi rebutan pelbagai pihak. Perebutan ini berlarutan sehinggalah British menduduki tanah Melayu. Pada masa akan datang, kami akan cuba menyingkap misteri disebalik sungai terpenting ini. Jadi nantikan artikel kami seterusnya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.