MALAM itu, satu kampung jadi riuh-rendah. Lampu ‘lip lap’ bergemerlapan sana-sini bak pesta keramaian. Sepanjang jalan dilimpahi cahaya pelita minyak tanah. Mana tidaknya, esok umat Islam akan menyambut hari raya.
Kelihatan anak-anak kecil tertawa keriangan bermain bunga api di luar rumah bersama sanak saudara. Lelaki dewasa pula sedang berhempas-pulas menundukkan sang kerbau yang ditambat bawah pokok ketapang untuk disembelih. Di dapur, ibu-ibu becok bergosip tatkala menyediakan bahan untuk membuat rendang dan sup tulang. Tidak kurang juga yang membakar lemang untuk juadah seisi keluarga. Semua sibuk dengan tugas masing-masing.
Itulah yang dapat digambarkan mengenai Hari Mantai yang begitu sinonim dengan adat dan budaya masyarakat di Negeri Sembilan. Walaupun ia masih dipraktikkan sempena menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, mahupun Aidiladha, namun hanya sebilangan sahaja yang masih mengamalkannya.
Hari Mantai kebiasaannya disambut oleh penduduk di beberapa daerah di negeri ini termasuk Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol dan Tampin.
Bagi orang ramai yang bukan berasal dari negeri itu, pastinya mereka tertanya-tanya apakah itu Hari Mantai. Ini kerana perkataan itu jarang sekali didengari, apatah lagi diketahui oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.
Mantai atau nama lainnya ‘Mogang’ dalam dialek masyarakat Negeri Sembilan yang asalnya perkataan membantai. Ia tentang hari atau malam menyediakan daging sembelihan iaitu sehari sebelum ketibaan bulan Ramadan ataupun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Kemeriahan majlis itu tidak hanya membabitkan acara bergotong-royong melapah daging tetapi melibatkan pelbagai aktiviti lain seperti membakar lemang, menyediakan rendang dan sebagainya.
Asal Usul Mantai
Mengikut sejarah, amalan ini merupakan dari zaman purba sebelum pra Islam. Pada masa itu, daging tersebut akan dipersembahkan kepada dewata sebagai penghormatan. Amalan ini juga dipraktikkan secara meluas di Pagar Ruyung sebelum era pemerintahan Raja Adityawarman lagi yang menguasai rantau Sumatera tengah antara 1347 hingga 1375 Masihi itu, kemudian dibawa masuk ke Negeri Sembilan.
Hari Mantai bermula di Naning, kemudian dituruti di Rembau. Ketika itu, Naning masih lagi sebahagian Negeri Sembilan sehingga tahun 1833 apabila British memasukkannya ke dalam Melaka. Apabila Islam berkembang di Negeri Sembilan kira-kira seperingkat selepas Melaka sekitar 1413, maka tradisi tersebut mula disesuaikan supaya menepati syarak dan sebutannya turut diubah dari ‘Hari Bantai’ kepada ‘Hari Mantai’ mengikut istilah penduduk tempatan.
Dahulunya, tradisi warisan Adat Perpatih ini meriah kerana dilakukan mengikut konsep perkongsian bahagian seperti yang diamalkan ketika umat Islam menyertai ibadah korban pada Aidiladha. Amalan gotong-royong diterapkan oleh masyarakat dulu ketika mengadakan tradisi mantai, tapi kini amalan itu semakin lama semakin terhakis. Kini konsepnya telah berubah iaitu lebih kepada jual beli.
Lazimnya Tok Sidang akan mencari bahan (haiwan) yang sesuai untuk disembelih, kira-kira tiga minggu sebelum ketibaan Hari Mantai. Pada prinsipnya, mesti ada nisbah untuk fakir miskin dan Tok Sidang perlu menyampaikannya sendiri kepada mereka. Contoh terbaik dapat dilihat sekitar era 50an di Jelebu.
Berbeza dengan zaman sekarang, dahulu, daun pisang atau daun palas digunakan semasa menyembelih pada Hari Mantai. Keempat-empat kaki haiwan yang hendak disembelih akan ditanjur dengan tali. Seterusnya kedua-dua kaki depan ditarik ke kiri, manakala kedua-dua kaki belakang ke kanan menyebabkan kerbau, lembu atau kambing itu hilang keseimbangan lalu jatuh.
Sebelum disembelih, sehelai daun pisang atau daun palas akan dibantai ke seluruh tubuh haiwan itu termasuk bahagian urat merih dengan tujuan supaya nyawa dan jasad berpisah dalam keadaan damai. Dari situlah datangnya perkataan ‘bantai’.
Di Minangkabau, kerbau lebih dihormati kerana dianggap sebagai elemen utama dalam mencari rezeki. Dalam hal ini, membantu membajak di sawah. Bagaimanapun, budaya memukul menggunakan daun ini semakin dilupakan sekitar 50an dan tidak diamalkan lagi pada 1960. Pada waktu itu, fungsi kerbau mula berkurangan disebabkan kewujudan jentera pembajak. Sekali gus, masyarakat juga hilang pautan animisme. Keadaan tersebut jelas ketara di Rembau, Kuala Klawang dan Johol manakala di Sungei Ujong melibatkan kawasan Kuala Sawah dan Kampung Pantai.
Tambahan pula golongan tua banyak sudah tiada, sedangkan golongan muda ada yang enggan meneruskan tradisi sedemikian. Maka tinggallah Hari Mantai yang dapat kita lihat pada hari ini. Rasanya, tidak sampai 10 peratus yang mengetahui asal usul Hari Mantai ini.
Sebenarnya Hari Mantai ini merupakan satu keunikan yang perlu dipertahankan sampai bila-bila kerana ia bukan sahaja mempertahankan budaya semata-mata, malah ia juga satu medium terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.
Sumber - Utusan Online (28/07/2026), Sinarharian Online (21/07/2026)









