Keunikan daerah Tampin bukan hanya terletak pada pekannya tetapi turut dirasai pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar. Ini kerana sekolah yang mempunyai keluasan sembilan hektar itu berada di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tunku Besar, Azhar Ali. - Foto Berita Harian
Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tunku Besar, Azhar Ali, berkata kelas pelajar Tingkatan Satu hingga Lima, pejabat pentadbiran, bilik guru, dewan, galeri, kantin, tempat letak kereta dan pintu masuk utama ke sekolah itu berada di kawasan Tampin manakala kawasan Melaka pula katanya, terletak kelas pra-universiti, makmal, kelas mata pelajaran pendidikan vokasional, pusat sumber dan padang termasuk padang hoki.
Apa yang lebih menarik lagi, batu sempadan dua negeri itu masih lagi berada di kawasan sekolah ini sejak dahulu lagi. Ini adalah satu keunikan yang terdapat di sekolah ini apabila semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah berada di dua negeri secara serentak.
Batu sempadan SMK Tunku Besar yang berada di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. - Foto Berita Harian
“Bagaimanapun, saya akui masih ada pelajar yang tidak mengetahui mengenai keunikan ini,” katanya lagi.
Azhar berkata, sekolah yang dibina pada tahun 1924 dengan hanya sebuah kelas serta 40 pelajar lelaki itu, pada mulanya dikenali sebagai Government English School. Sekolah itu kemudiannya bertukar ke beberapa lokasi sekitar daerah ini, dan hanya kekal di bangunan kini iaitu berhampiran pekan Tampin pada 1953.
Antara blok yang terdapat di SMK Tunku Besar.- Foto Berita Harian
Sejak ditempatkan di bangunan baru, banyak perubahan yang berlaku termasuk pertambahan kelas dan padang sekolah. Sebelum ini padang sekolah masih dalam kawasan negeri ini iaitu di kantin sekolah kini. Tetapi pada 1973, pihak sekolah membuat permohonan kepada kerajaan untuk membesarkan padang sekolah dan diberikan kawasan ladang getah di belakang sekolah untuk dijadikan padang.
Azhar yang berkhidmat di sekolah itu selama 14 tahun berkata, walaupun pentadbiran sekolah itu berada di dua negeri, tetapi itu tidak menjadikan sebarang halangan.
“Sekolah ini dibina di daerah Tampin dan setakat ini tiada sebarang masalah timbul. Malah kami warga sekolah amat berbangga kerana keadaan ini menjadikan sekolah ini unik,” katanya.
Azhar menunjukkan kawasan SMK Tunku Besar yang berada di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. - Foto Berita Harian
Guru Pra-Universiti, M Vivekananda, berkata sebagai pelajar asal sekolah itu dari tahun 1980 hingga 1986, dia amat berbangga dengan keunikan sekolah itu.
Sebagai anak jati Tampin katanya, dia berbangga dapat berkhidmat di sekolah yang pernah memberikannya ilmu suatu ketika dulu.
“Tidak ramai orang yang berpeluang mengajar di sekolah yang pernah kita belajar. Jadi saya amat berbangga apabila berada di sekolah ini. Sebagai seorang guru hoki, saya juga banyak menghabiskan masa di padang. Ini bermakna pada waktu pagi saya berada di Negeri Sembilan dan petang di Melaka,” katanya.
Pelajar Tingkatan Tiga, Mohd Shauqi Mustafar, 15, berkata dia bersekolah di situ kerana bapanya yang juga bekas pelajar sekolah itu, memintanya berbuat demikian.
Dia yang tinggal di Kampung Kuala Ina, Melaka, berkata bapanya mahu dia aktif dalam bola sepak kerana sekolah itu aktif dalam pelbagai jenis sukan.
“Saya tidak kisah kerana memang minat bermain bola, tetapi pada masa sama saya amat berbangga kerana berada di sekolah yang berada di dua negeri,” katanya.
Bagaimanapun, seorang Pelajar Tingkatan Empat, B Subathradevi, 16, mengakui tidak mengetahui mengenai keunikan sekolah itu.
“Saya bersekolah di sekolah ini sejak Tingkatan Satu dan memang tidak tahu saya berada di dua negeri serentak setiap hari,” katanya.
SMK Tunku Besar yang berada di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka. Foto - Berita Harian
SUMBER - Petikan daripada Berita Harian Online (30 Julai 2015 | 12:16am)














