Anak Kelahiran Gemas Pernah Berlakon Dengan Shah Rukh Khan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

MUNGKIN ramai tidak tahu, anak kelahiran Bukit Loko, Gemas, ini pernah berganding dengan aktor terkenal Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan semasa penggambaran sekuel filem Don 2 di Penjara Sungai Udang, Melaka, pada tahun 2011.

S Manimaran, 49, menjalani uji bakat bersama 60 individu lain bagi watak rakan satu sel penjara dengan aktor berkenaan sebelum terpilih dan menjalani penggambaran selama lima hari.

Menurut Manimaran, pada masa itu, dia tidak terfikir menjadi antara individu bertuah untuk berlakon dalam filem berkenaan.

Katanya, segala-galanya berubah apabila beberapa hari selepas penggambaran, dia tidak henti-henti menerima ucapan tahniah serta pujian daripada tenaga kerja produksi.

“Mereka beritahu saya, saya bertuah dapat berlakon dengan Shah Rukh Khan. Ada dialog dan hanya lima orang sahaja diberi layanan serupa aktor itu termasuk baju digosokkan serta makanan dan minuman tersedia sepanjang lima hari penggambaran.

“Saya juga tidak perlu berebut-rebut seperti peminatnya yang lain atau menunggu berhari-hari untuk berjumpa Shah Rukh Kha sepanjang penggambaran di negara ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Kolam Air Kampung Baru Tampin, di sini, kelmarin.

Manimaran berkata, peluang berkenaan merupakan kenangan paling manisnya dalam bidang hiburan, namun dia sedar cabarannya dalam bidang hiburan yang paling diminatinya, bidang tarian sangat besar serta berliku.

Manimaran merupakan Pengerusi Malaysian Indian Dancers Association (IDAM) berkata, bidang tarian terutamanya bagi penari India masih jauh ketinggalan menyebabkan dia berhasrat menjadikan penari di negara ini setanding dengan produk tarian negara luar seperti Bollywood.

Dibayar RM10, balik jalan kaki

“Bakat penari di negara kita baik Melayu, Cina dan India juga tidak kurang hebatnya. Mereka ini perlu diberikan peluang diketengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi.

“Saya pernah membawa kira-kira 40 penari bertanding di World Dance Festival di Korea. Ketika itu, Malaysia berjaya mendapat tempat keempat daripada 29 buah negara yang menyertai pertandingan berkenaan,” katanya yang berpengalaman menjadi koreografi rancangan hiburan termasuk Hiburan Minggu Ini (HMI) di rangkaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar akhir 80an sehingga hujung 90an.

Manimaran berkata, perjalanan karier sebagai penari bukanlah sesuatu yang mudah terutama di peringkat awal memandangkan dia pernah menerima RM10 saja daripada penganjur untuk persembahan sebuah kumpulan.

“Masa tu dalam awal 90an. Saya bawa kumpulan saya buat persembahan di Dataran Merdeka. Dah habis buat persembahan, mereka bayar RM10 sahaja untuk satu kumpulan. Kami terpaksa berjalan kaki pulang dan masa itu kami tidak kisah kerana memang mempunyai semangat dalam tarian,” katanya.

Menurutnya, semangat berkenaan masih belum berkubur dalam dirinya dan dia kini memikirkan cara menjadikan tarian sebagai kerjaya dihormati, selain memikirkan tarian Malaysia untuk dipertandingkan dalam festival tarian di peringkat dunia.

Kagum tarian Melayu

Sementara itu, Manimaran berkata, dia berharap kerajaan melalui kementerian berkaitan memikirkan usaha memastikan Malaysia mempunyai tarian sendiri serta boleh diketengahkan setanding negara lain.

“Ini memang cabaran besar sebab kita sudah biasa dengan tarian tiga kaum utama - Melayu, India dan Cina. Jika diberikan peluang dan ruang, kajian gerakan tarian dari suku kaum serta etnik negara ini boleh diperhalusi serta dijadikan seni tarian Malaysia untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya juga berharap cabang karier hiburan ini iaitu tarian akan dapat setanding dengan bidang hiburan lain,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia telah berjaya mengumpulkan seramai 3,100 penari India yang akan diberikan pendedahan bagaimana menjadi penari yang lebih baik lagi.

“Saya agum dengan penari tradisional Melayu kerana mereka berjaya meletakkannya sebagai kerjaya profesional mereka serta mempunyai jati diri kuat,” katanya.

Sumber - Sinar Harian Online

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.