Rumah Negeri Sembilan di Kompleks Taman Seni, Seremban Lambang Senibina Minangkabau Di Negeri Sembilan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Rumah Negeri Sembilan yang terletak di Kompleks Taman Seni Budaya di Seremban merupakan salah satu rumah contoh yang menggambarkan senibina Minangkabau di Negeri Sembilan. Rumah ini sebenarnya jauh lebih tua daripada apa yang kita sangkakan. Namun dalam ketuaan usianya itu, banyak rahsia sejarah silam tersimpan didalamnya.

Menurut catatan yang terdapat daripada beberapa sumber, “Rumah Negeri Sembilan” ini telah pun dibina sejak tahun 1898 lagi. Sebelum rumah ini ditukar kepada nama “Rumah Negeri Sembilan”, ia adalah milik Undang Sungai Ujong yang terletak di Kampung Air Garam, Mambau. Ia terletak kira-kira empat batu dari Seremban menghala ke Port Dickson dan ditukangi oleh orang tukang suku Minangkabau bernama Haji Syahahbudin dan Kamruddin.

Pada tahun 1980-an, rumah ini dipindahkan ke tapak Kompleks Taman Seni Budaya sebagai muzium. Oleh kerana status tersebut maka monumen ini telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri sebagai bangunan bersejarah.

Jika ditinjau dengan teliti dan mendalam mengenai konsep binaan rumah lama di Negeri Sembilan, ia begitu lengkap dari segi susunan dan perancangannya. Dengan memfokuskan kepada model rumah Negeri Sembilan, kita dapati senibinanya sememangnya dipengaruhi oleh rekabentuk Minangkabau. Ia mempunyai bumbung panjang dan lentik dengan kedua-dua hujung bumbungnya naik ke atas sedikit. Seperti rumah lama lain ia juga mempunyai rumah ibu, atau rumah tengah serambi serta loteng dan pada dindingnya mempunyai ukiran-ukiran yang menarik sekali. Antara ciri lain adalah berlantai tinggi dari tanah dan bertangga kayu.

Rumah ini agak sederhana besarnya iaitu 17.8 meter x 2.7 meter panjang dan 7.8 meter x 0.9 meter lebar. Ia mempunyai 16 batang tiang utama; justeru itu ia juga dikenali sebagai Rumah Tiang 16. Selain itu itu ia juga dibuat tanpa menggunakan sebatang paku sebaliknya menggunakan pasak daripada kayu untuk menyambung antara kayu/papan. Dinding-dindingnya pula dibuat berkembi iaitu papan papan kembun yang dipasangkan pada pemidang-pemidang.

Seperti rumah-rumah Melayu tradisional, rumah ini juga diserikan dengan ukiran-ukiran yang menarik pada bahagian hadapan rumah. Ukiran ini menambahkan lagi mutu seni rumah tersebut yang bukan sahaja kukuh dari segi binaannya tetapi juga indah dan bernilai dari segi reka bentuk seninya. Jadi tidak hairanlah pada tahun 1924 rumah ini pernah dibuka/rombak oleh Inggeris untuk dipamerkan di London sempena Pameran Great Wembly.

Menurut catatan lain, ada sebuah rencana mengenai rumah ini tersiar dalam akhbar The Strait Times dalam tahun 1979 yang menyebut tarikh rumah ini dibina kira-kira dalam tahun 1898 Masihi dengan perbelanjaan RM400 sahaja.

Kini rumah ini tersergam indah bersama-sama Istana Ampang Tinggi yang terletak bersebelahan dengannya Muzium Negeri Sembilan di Kompleks Taman Seni Budaya, Seremban. Ia juga telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (645) oleh Jabatan Warisan Negara pada 18 Februari 2013.
Sumber - arkib.gov.my; lmns.ns.gov.my (Muzium Negeri Sembilan)

Artikel berkaitan:
Sejarah Istana Ampang Tinggi Di Muzium Negeri Sembilan

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.