
Selain rumah api dan sejarah Battle of Cape Rachado, Tanjung Tuan di Port Dickson juga tidak lari dikaitkan dengan pelbagai cerita misteri serta aneh. Misalnya, Puaka Tanjung Tuan.
Ini kerana terdapat sebuah kawasan di perairan berhampiran pantai di situ dikatakan berpuaka. Cerita tentang puaka di Tanjung Tuan boleh dikatakan kisah turun temurun. Sampai sekarang, tidak ada sampan atau bot-bot kecil berani melalui kawasan itu. Daripada cerita yang diperoleh daripada penduduk sekitar, dahulu kawasan perairan tersebut telah menelan banyak bot-bot kecil terutama milik nelayan ketika melalui kawasan itu. Lebih teruk lagi bot dan penumpangnya hilang tanpa dapat dikesan. Boleh kata ia diibaratkan seperti Misteri Segitiga Bermuda yang terdapat di Amerika Syarikat.
Kawasan yang dimaksudkan ialah perairan di sebalik bukit Batu Putih, dari Tanjung Tuan menghadap ke pantai Sri Purnama. Walaubagaimanapun, terdapat suatu cerita dahulu dikatakan terdapat seorang tua yang berjaya melalui kawasan perairan tersebut dengan selamat. Orang tua itu dikatakan mempunyai keramat kerana berjaya melalui kawasan itu dengan selamat, sedangkan ramai orang hilang selepas melalui kawasan berkenaan.
Sehingga sekarang tiada orang yang berani melalui perairan itu. Dikatakan kawasan perairan itu sebenarnya merupakan titik pertembungan tiga arus. Arus tersebut datangnya dari arus dari tengah laut, Teluk Kemang dan bahagian selatan. Pertembungan antara arus itu membentuk pusaran air yang agak besar. Sekiranya pada masa itu adalah air pasang besar, pusaran itu anda boleh lihat dengan jelas.
Kalau diikutkan banyak lagi kisah misteri yang terdapat di Tanjung Tuan ini memandangkan kawasan ini merupakan salah satu tempat bersejarah di negara ini. Contohnya berhampiran pantai menghadap ke Kuala Linggi, Melaka, di kaki bukit Tanjung Tuan ini, terdapat dua buah perigi. Satu perigi buta dan satu lagi masih boleh digunakan. Yang perigi buta itu, dahulunya digali oleh orang Belanda. Manakala perigi yang satu lagi dipercayai perigi Hang Tuah. Dekat perigi itu, dikatakan merupakan tempat orang berlatih silat termasuk Hang Tuah bertapa sehingga meninggalkan kesan tapak kaki yang boleh dilihat hingga ke hari ini.
Orang dahulu juga pernah bercerita, di perigi itu juga pernah wujud sebuah perkampungan. Buktinya terdapat batu nisan kubur-kubur lama. Tetapi, ia telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa disebabkan terdapat segelitir indivdu yang melakukan aktiviti pemujaan di sini. Cuma terdapat suatu makam yang dikenali dengan nama “Tok Tanjung Tuan” yang masih dipelihara sehingga ke hari ini. Sebenarnya tidak dipastikan milik siapakah makam ini malah apakah kaitan makam tersebut dengan nama “Tanjung Tuan” ini masih lagi tidak diketahui.
Walaubagaimanapun ada sesetengah berpendapat makam ini adalah milik Paremeswara atau Sultan Iskandar Shah (nama islam) yang membuka Melaka. Ada juga yang beperdapat makam ini adalah milik orang tua yang telah berjaya mengharungi pusaran air yang terdapat di Tanjung Tuan ini. Apapun, kesahihan cerita ini belum dapat lagi dipastikan kerana belum ada sumber-sumber sahih yang dapat membuktikannya.
Daripada cerita-cerita misteri ini, tidak hairanlah mengapa Tanjung Tuan ini dikenali sebagai tempat keramat sehinggakan ada individu yang tidak bertanggungjawab datang ke sini semata-mata untuk melakukan aktiviti pemujaan. Yang pasti, sekarang tempat ini diawasi dengan ketat oleh pihak berkuasa dan kebanyakan tempa-tempat pemujaan tersebut telah dimusnahkan.
Walau apapun, kami mengharap ada pengkaji sejarah yang sudi untuk membuat kajian di tempat ini bagi mencari sejarah serta kisah disebalik nama Tanjung Tuan ini. Semamangnya tempat ini kaya dengan sejarahnya cuma masa belum mengizinkan kita untuk mengetahuinya. Sumber Utusan Online (22 April 2026), qulamirulhakim.blogspot.my










