Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah, sejak tahun 1723, inilah kali pertama Undang Luak Johol dilantik bukan atas sebab kematian tetapi atas sebab perlucutan jawatan Undang yang terdahulu. Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol ke-15, menggantikan Dato’ Muhd Jan bin Abdul Ghani yang dipecat atas kesalahan melanggar salah laku adat.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol ke-15 dan menghadap ke bawah duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah dilangsungkan di Istana Besar Seri Menanti pada 15 Disember tahun lalu.

Uniknya sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, di mana institusi undang yang empat iaitu Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan jajahan masing-masing. Undang yang empat juga bertanggung jawab melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Selepas perlantikan Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dan permasyhurannya diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, satu istiadat pertabalan akan dilakukan. Istiadat pertabalan ini dinamakan sebagai kerjan.

Apa Itu Kerjan?

Kerjan adalah satu sebutan adat yang bermaksud pertabalan. Kerjan diadakan selepas seseorang itu dimasyhur atau ditabalkan sebagai undang. Sistem undang yang diguna pakai sekarang ini merupakan satu sistem demokrasi penuh yang unik.

Segala perlantikan dan keputusan adalah mengikut keputusan majoriti. Anak buah melantik Buapak. Buapak melantik Lembaga. Lembaga melantik Dato’ Undang. Kemuafakatan Dato’ Undang inilah akan melantik Yang Dipertuan Besar. Sistem ini telah digunakan sejak zaman-berzaman.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Istiadat kerjan ini dimulakan dengan menurunkan alat kebesaran. Penurunan alat kebesaran adalah satu tanda kebesaran bagi setiap penyandang undang luak. Alat kebesaran ini diwarisi daripada undang luak pertama, Dato’ Setiawan.

Yang Teramat Mulia Dato’ Undang beserta datuk-datuk adat yang berkenaan berangkat ke perigi godang untuk melaksanakan istiadat Mandi Berlangir atau bersiram. Mandi Berlangir adalah satu tradisi wajib bagi istiadat kerjan kepada sesiapa yang menyandang pusaka Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Selepas itu Yang Teramat Mulia Dato’ Undang berangkat pula ke makam Gobah. Di Makam Gobah ini akan diadakan Istiadat Menaikkan Daulat. Gobah adalah Undang Luak Johol yang ke-6 dan telah memerintah selama 20 tahun (1820 –1840). Adat kebiasaan yang dijalankan ialah istiadat tahlil dan menepung tawar kepada sesiapa juga penyandang Dato’ Undang.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Kemudian Yang Teramat Mulia Dato’ Undang pulang semula ke rumah Telapakan Ibu Waris Johol di Kampung Tanggai dengan menaiki kereta kuda. Pada petangnya, satu istiadat menjunjung kasih dijalankan, yang mana semua datuk adat akan menghadap dan menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Johol.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Dengan berakhirnya istiadat kerjan itu, maka terzahirlah sudah Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15.

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

Sambutan yang dirancang selama lima hari lima malam melibatkan pelbagai pihak termasuk anggota penguatkuasa, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan banyak lagi. Paling mengujakan apabila kenduri rakyat dengan hidangan istimewa iaitu daging kerbau dijamu kepada seluruh penduduk sekitar selama lima hari. – Sumber mingguanwanita.my

Artikel berkaitan:
Sejarah Asal Usul Johol Dan Undang Johol
Sejarah Undang Johol Pertama

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.