
Sebelum ini kami ada menceritakan serba sedikit rumusan dari Sejarah Johol dan Undang Johol petikan daripada kajian penulisan Buyong Adil. Ini kerana penulisan mengenai Sejarah Johol serta Undang Johol pernah disebut dalam Torombo Johol serta beberapa pengkaji barat seperti Wilkinson, Hervey, J.E Nathan dan sebagainya pada ketika itu. Dan kali ini, kami telah memperoleh informasi mengenai sejarah undang pertama berdasarkan rumusan daripada beberapa kajian yang telah dibuat untuk tatapan anda semua.
Johol dan luak lain di Negeri Sembilan pendudukan asalnya ialah orang-orang sakai atau orang asli dan mereka ini dikatakan mempunyai pertalian saudara. Malahan seorang pengkaji sejarah J.E Nathan merumuskan peringkat awal pembentukan Negeri Sembilan ialah gabungan Sakai Sakai Sungai Ujung, Jelebu, Klang dan Johol.
Selepas itu daerah atau luak didatangi oleh kumpulan kumpulan dari Melaka dan Johor yang diancam dengan Portugis dan Bugis. Ada yang mengatakan mereka ini minangkabau yang ada hubungan saudara yang mencari tempat yang lebih selesa untuk di didiami. J.E. Nathan menyatakan inilah peringkat ke dua pembentukan Negeri Sembilan terdiri dari Segamat, Naning, Rembau, Sungai Ujung, Jelebu, Hulu Pahang, Jelai, Kelang dan Johol (Nenek Kerbau).
Apa yang menarik ialah orang asli boleh menerima kehadiran mereka dan membahagikan penempatan antara mereka iaitu dalam hutan untuk Tok Batin dengan anak buahnya dan di tepi sungai didiami oleh orang mendatang.
Di Johol, kehidupan dua kelompok masyarakat itu akhirnya membawa persetujuan untuk mendapatkan ketua. Menjadi amalan masyarakat zaman dahalu, ketua merujuk kepada keturunan yang berdarah raja. Untuk itu, persetujuan dicapai untuk menjemput pembesar di Pasir Besar iaitu Bendahara Skudai ke Johol untuk di tabalkan menjadi ketua.
Kisah menjemput Pembesar Bendahara Skudai ini di ceritakan dalam 3 kisah sejarah:
- Dalam Terombo Dato Dato Johol (wilkinson) mengisahkan perjalanan Batin Melengkar Alam bersama isterinya Dato Koyan dari Minangkabau ke Kuala Salak, kemudian ke Skudai, ke Johor dan ke Pasir Besar (dapat 3 anak). Anak ketiga ialah Dato Perdana Menteri punya 4 orang anak iaitu Johan, pahlawan, lela Perkasa dan Setiawan. Dan mereka ini lah yang datang ke Johol dan Setiawan telah dijadikan dato Undang Johol. Hasil perkahwinan dengan Batin Liman menghasilkan 3 orang anak.
- Kisah kedua diceritakan dalam Terombo dari Hal Kejadian Penghulu Johol (Hervey). Kisahnya 3 orang jakun Johol iaitu Seribu Garang, Nan Garang dan Panglima Garang bersama Batin Rendah dan Panglima Hitam dan Panglima Puteh pergi ke Pasir Besar bagi menjemput Bendahara Skudai dan keluarganya untuk dijadikan ketua di Johol.
- Dan ketiga Dari Teks Sejarah Johol menceritakan secara terperinci kisah Batin Pak Johol menjemput Bendahara Skudai bersama keluarga dan anaknya Johan, Pahlawan, lela Perkasa dan Puteri Kunun ke Johol.
Kisahnya bermula apabila keadaan huru-hara berlaku di Pasir Besar, di kisahkan ada orang bunian telah menyerupai seorang puteri yang teramat cantik hingga jejaka di Pasir Besar berbunuhan untuk merebutnya. Dengan keadaan tersebut, Bendahara Skudai sekeluarga bersetuju dengan undangan Batin dan mereka bersama sama menyusur Kuala Sungai Jelai hingga ke pertemuan Sungai Jerneh (Inas) dan Sungai Keruh (Sungai Johol). Kemudian menyusur Sungai Keruh lalu ke Kuala Melekai ke rumah Batin Pak Johol di Tanjung Beringin Melekai.
Batin Pak Johol memanggil saudara-saudaranya iaitu Batin Jelebu, Batin Mahgelang dan Batin Kelana bagi membincangkan apa yang baik diberikan kepada mereka yg dijemput datang. Maka Batin Jelebu berkata “baiklah kita pulangkan kepadanya paya yang luas padang yang datar2 kepada budak yang berempat, bukit yang tinggi, permatang yang panjang rimba yang senyap sunyi itulah akan tempat kita diam mencari makan. Setiap batin telah mengambil seorang anak Bendahara untuk di Kerjankan dan Puteri Kunun dikerjankan memerintah di Air Keruh.
Semasa memerintah Sungai Keruh, Puteri Kunun telah diganggu oleh maharaja Jeong yang memerintah Inas menyebabkan beliau telah di bawa bertapa di Gunung. Kembalinya ia dari bertapa, Puteri Kunun telah berjaya membunuh Maharaja Jeong. Selepas berjaya membunah Maharaja Jeong, Puteri Kunun bersama sama saudaranya Puteri Anak Naga dan Puteri Anak Tonok kembali ke Sungai Keroh. Kemudian Puteri Anak Naga kembali ke Tanggai dan Puteri Anak Tonok dihantar ke Gemencheh yang banyak emasnya.
Batin Pak Johol sekali lagi memanggil saudara-saudaranya ke Tanjung Beringin Melekai dengan maksud hendak menggerjankan akan Puteri Kunun menjadi Undang di dalam Negeri Sungai Keruh turun temurun. Semasa kerjan berkata Batin Pak Johol Kepada Tuan Puteri Kunun, “Ayuhai anakku Tuan Puteri Kunun, engkau inilah aku kerjankan menjadi Undang di dalam Negeri Sungai Keruh ini akan memerintah akan orang ramai akhirnya” maka lalu menjawab Puteri KunUn “mana mana perintah Dato Batin tiadalah sahaya berani mengubahnya melainkan menurut sahajalah, apa sebabnya kerana ia sahaya ini ambilan Tok Batin dibawa pulang ke Balai Tok Batin daripada Pasir Besar Dahulu.
Selepas itu, canang pun dipukul, kebesaran didirikan, tombak mendarang dihuraikan dan mana-mana kebesaran yang dibawa daripada Pasir Besar dahulu dikeluarkan dan istiadat mengadap pon berlansung dan Batin Kelana pon mengatakan “Daulat serta Manika” maka berkata Batin Pak Johol kepada orang ramai, “Inilah Undang Sungai Keroh / Johol Puteri Kunun /sitiawan, maka sekilian kita menyembah kepadanya membersarkannya Daulat serta Manika.
Dalam penulisannya Dato Samad Idris, Puteri Kunun memeluk islam dan menukar namanya ke Sitiawan dan “Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan” yang dipakai oleh Dato Undang hingga sekarang diambil dari nama adik beradik /puteri Kunun. Dato Undang pertama /setiawan memerintah bermula pada tahun 1723 hingga 1747 kemudian digantikan oleh anaknya Rambut Panjang (perempuan), Sitiawan 2 (perempuan), Rambutan Jantan (lelaki) dan seterusnya. - Sumber dari Penulisan Prof. Mustafa Yusof, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor
Artikel berkaitan:
Sejarah Asal Usul Johol Dan Undang Johol
Istiadat Kerjan Undang Luak Johol Ke-15

















