
Tampin merupakan sebuah bandar yang terletak di antara sempadan Negeri Sembilan dan Negeri Melaka. Bandar Tampin terbahagi kepada dua iaitu Tampin Negeri Sembilan dan Tampin Melaka. Sebenarnya istilah Tampin, Melaka tidak wujud. Kawasan Tampin yang dikatakan dalam kawasan negeri Melaka sebenarnya Pulau Sebang di bawah Pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah. Orang ramai jarang menyebut Pulau Sebang tetapi menyebut kawasan Melaka itu sebagai Tampin, Melaka. Lampu isyarat di kedua-dua bandar yang berjiran itu merupakan sempadan antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Asal-usul nama Tampin adalah daripada bekas makanan Tampin yang diperbuat daripada daun mengkuang. Makanan yang biasanya diisi di dalam bekas tersebut adalah dodol. Pada zaman dahulu, Tampin adalah pusat perdagangan dan perniagaan antara penduduk dari kawasan Rembau dan Gemencheh dengan penduduk dari Alor Gajah. Daerah Tampin terbahagi kepada 7 mukim dengan keluasan keseluruhan adalah 87,868.82 hektar.
Orang tua-tua menyebut orang yang mula-mula meneroka Tampin ialah sepasukan perompak laut seramai 70 orang yang diketuai oleh Panglima Hitam, suku Batu Hampar. Tempat yang bernama Keru dan Tebong di Tampin sekarang mula dibuka oleh seorang suku Mungkal yang datang dari Mancap di Melaka. Tempat yang bernama Repah pula mula dibuka oleh orang suku Batu Tiga, tetapi cerita ini tidak mempunyai tarikh dan bukti yang nyata.
Dari segi pentadbiran sosiopolitik adat, daerah Tampin terbahagi kepada empat wilayah iaitu Pasir Besar, Ayer Kuning dan Gemencheh ialah luak kecil di bawah naungan Luak Johol. Ketiga-ketiga luak kecil ini diperintah oleh seorang Penghulu Pusaka Luak. Tampin, sebagai sebuah kerajaan, kerana tidak dinaungi oleh mana-mana luak adat asal, dipanggil luak dan diperintah oleh Tunku Besar Tampin. Oleh sebab luak Tampin ini luak baru, sebagai kawasan pemerintahan adat, Tampin dikatakan sebagai wilayah Tunku Besar Tampin.
Luak Tampin sebelum 1834 berada di bawah kekuasaan Rembau dan segala pentadbiran berpusat di Rembau. Kewujudan Luak Tampin adalah akibat dua peristiwa utama iaitu Perang Naning dan perebutan dinasti yang melibatkan Rembau dan Seri Menanti.
Perang Naning, antara British dengan Dato’ Naning berlaku dalam tahun 1832 menghasilkan dua perkara. Pertama kekalahan Dato’ Naning mengakibatkan kerajaan Naning kehilangan wilayah bahagian timurnya, iaitu Tebong. Kedua, kedudukan Raja Ali, Yamtuan Muda Rembau dan menantunya, Syed Shaaban menjadi lebih kukuh, sementara di Seri Menanti, Yamtuan Sati atau Raja Labu telah dipecat oleh Dato’ Kelana Sungai Ujong. Raja Ali mengisytiharkan dirinya sebagai Yamtuan Besar dan melantik Syed Shaaban sebagai Yamtuan Muda Rembau. Kedua-dua personaliti ini pada hakikatnya tidak berhak atas kedua-dua jawatan ini dan dengan pengisytiharan itu telah menyinggung semua pembesar Negeri Sembilan.
Raja Ali dan Syed Syaaban lebih lanjut lagi telah bertindak membuat perjanjian perdamaian dan persahabatan dengan British dalam tahun 1832 dan 1833. Dalam perjanjian yang pertama mereka menandatanganinya sebagai pembesar kerajaan Rembau, tetapi dalam perjanjian tahun 1833 mereka telah menaiktarafkan lagi kedudukan mereka. Syed Shaaban berikutnya melibatkan diri dalam perang dinasti dengan Dato’ Nganit, Undang Rembau, yang disokong oleh Dato’ Kelana Sungai Ujong. Di samping itu, Dato Kelana telah pula meletakkan calon baru untuk jawatan Yamtuan, iaitu Raja Radin, putera Raja Lenggang Laut, Yamtuan Seri Menanti ketiga. Dalam perang saudara berikutnya, Raja Ali dan Syed Shaaban gagal mempertahankan kedudukan mereka sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan Yamtuan Muda Rembau, tetapi berjaya menguatkan kedudukan mereka di Tampin.
Akibatnya, sebahagian daripada wilayah Rembau baruh, iaitu dari Gunung Tampin hingga ke Bukit Putus terkeluar dari kekuasaan kerajaan Rembau. Justeru,dalam tahun 1834 wujud Luak Tampin Tengah, Keru, Repah dan Tebong (sebelum Perang Naning tahun 1832 adalah sebahagian daripada Naning).
Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com
Orang Nogori















