
Minggu lepas, kami orangnogori.com ada bercerita mengenai kisah seram yang pernah diceritakan oleh penduduk setempat mengenai Lebuhraya Seremban-Port Dickson. Kali ni pula, kami terpanggil pulak nak cari kisah seterusnya iaitu kawasan lebuhraya kedua yang dikatakan agak seram dilalui ketika waktu malam iaitu laluan lebuhraya Utara Selatan dari susur keluar Pedas-Linggi, Negeri Sembilan hinggalah membawa ke susur keluar Simpang Ampat, Melaka.
Kami cuba kumpulkan beberapa cerita daripada apa yang disampaikan oleh penduduk setempat dan kebanyakannya ada cerita mereka sendiri:
- Antara kisah mangsa yang pernah mengalami pengalaman seram di lebuhraya ini adalah, seorang lelaki yang membuat perjalanan dari Melaka ke Bangi, dengan menaiki motosikal, beliau meredah malam melalui lebuhraya tersebut pada sekitar jam 2 pagi. Kira-kira di KM 230, terdapat sebuah kereta Iswara Sedan putih di hadapannya yang bergerak begitu perlahan. Dengan perasaan sedikit gementar, beliau memotong kenderaan di hadapannya dan terbau sesuatu yang begitu busuk. Ketika memotong Iswara putih itu, beliau sempat menjeling ke arah kereta tersebut dan apa yang dilihatnya, adalah sebuah kereta yang telah remuk teruk [total loss] bergerak tanpa pemandu. - Cerita nYum pada July 22, 2026
- Cerita yang kedua daripada Anip mengenai pegawai atasannya. Dikatakan pegawainya itu hendak pulang ke Taiping dimana dia tidak dapat menunggu sehingga keesokan harinya. Jadi dia terus memandu pulang pada pukul 2-3 pagi. Tiba disuatu tempat di laluan itu ada sehelai kain putih melayang depan cermin kereta. Disebabkan takut, dia teruskan perjalanan dan berhenti di Seremban dan sambung semula perjalanannya selepas Subuh - Cerita anip-sama pada July 22, 2026
- Cerita seterusnya diceritakan oleh Mira dan 3 orang rakannya yang dalam perjalanan ke Semenyih lebih kurang pukul 11.30 malam. Di KM205++, dia terkejut kerana ada ‘benda’ tercicir dari kereta hadapannya sehinggakan dia tidak sempat untuk mengelak dan terpaksa melanggarnya. Menurut Mira yang peliknya tiada bunyi pun semasa pelanggaran itu, ini kerana kalau ‘benda’ itu adalah binatang sudah mestinya ada bunyi sungguhpun ia kotak ataupun plastik. Lebih kurang KM 220++ pula, salah seorang kawan yang berada sekali di dalam kereta tu ternampak ‘benda’ lain pula duduk ditepi jalan sambil memerhatikan mereka. Menurut pandangan mereka, ‘benda’ yang dilanggarnya itu mungkin ‘benda’ yang memerhatikan mereka di tepi jalan itu. - Cerita mira_buruk pada July 22, 2026
- Cerita lain pula diceritakan oleh Podgie dan rakannya yang dikatakan ada perlumbaan di MIMC, Melaka. Dikatakan waktu kejadian berlaku pada pukul 3-4 pagi. Podgie yang menemani rakannya memandu memerhatikan tanda KM yang ada pada tepi lebuhraya tu. Bermula dari KM200 sehinggalah sampai kawasan Pedas-Linggi lebih kurang KM224, tiba-tiba rakan dia pun mengelak seperti ada lubang ditengah jalanraya. Dalam hati dia ada rasa kurang enak takut-takut rakan dia ‘mamai’ terjumpa hantu ke. Jadi dia pun tak berani lah nak tegur rakannya masa itu. Esoknya tu pula, dia tanya lah rakannya tu apa yang di elaknya semalam. Menurut rakannya, dia ternampak ada orang naik basikal tepi lebuhraya nak melintas. Yang peliknya malam kejadian tu satu orang pun dia tak nampak di tepi lebuhraya tu. - Podgie, September 22, 2025
Begitulah beberapa cerita yang dapat kami jumpa setakat ini. Ada juga diantaranya pernah terjumpa lembaga melintaslah, cik pon tumpang naik kereta lah, lembaga melintas jalan raya dan sebagainya. Walaubagaimanapun, kebanyakannya cerita ini berlaku sekitar 1-4 pagi.
Ada juga mengaitkan kemalangan maut yang kerap berlaku disini disebabkan perkara-perkara mistik ni. Tapi bagi kami semua kejadian yang berlaku atas kehendak Allah SWT yang Maha Esa juga. Apapun sebelum naik kenderaan tu, bacalah doa, supaya dielakkan kita daripada ditimpa musibah. Semoga perjalanan kita dilindungi oleh Allah SWT.
Dan satu lagi yang paling penting, bawa kenderaan tu berhati-hatilah, jangan laju sangat sebab kawasan ini sememangnya gelap dan selalunya berkabus. Kadang-kadang ada juga cik Ba&* melintas. Sekiranya anda terlalu laju, mungkin tidak sempat untuk berhentikan kenderaan. Biar lambat asal selamat.
Sekiranya anda ada kisah seram/pengalaman seram di kawasan lebuhraya ni bolehlah diceritakan kepada kami di ruangan komen dibawah. Yang tiada tu, alhamdulillah. Moga kita dijauhkan dari gangguan syaitan ni - Sumber himpunan seram komen FB
Artikel berkaitan:
Pengalaman Seram Lebuhraya Seremban – Port Dickson










