Sebelum terbentuknya Negeri Sembilan, ia merupakan sebahagian daripada wilayah pemerintahan kesultanan Johor. Di dalam wilayah inilah terdapat beberapa buah daerah atau luak yang diketuai oleh Penghulu Luak. Mereka ini pula dibantu oleh Datuk Lembaga dan Buapak. Penghulu yang memerintah di Luak masing-masing ini mendapat mandat atau kuasa dari Sultan Johor sendiri.
Antara beberapa Luak dibawah pentadbiran Kerajaan Johor termasuklah Luak Johol. Di dalam Luak Johol inilah letaknya Seri Menanti yang mengandungi beberapa buah kampung di sekeliling istana Besar Seri Menanti sekarang. Bagaimanapun kampung-kampung berkenaan belumlah terbuka lagi pada ketika itu, cuma terdapat beberapa buah keluarga penduduk yang terdiri daripada orang-orang Minangkabau yang baru datang meneroka tempat tersebut.
Dari catatan sejarah mungkin masih samar-samar sama ada Negeri Sembilan merupakan sebahagian dari Kerajaan Melayu Melaka sekitar abad ke-15 dan ke-16, sehingga berakhirnya pemerintahan Sultan Mahmud Shah setelah dikalahkan oleh Portugis pada 24 Ogos 1511. Apabila muncul kerajaan Melayu Johor mengambil peranan Melaka dalam abad ke-17, kedudukan Negeri Sembilan sebagai wilayahnya juga masih lagi samar-samar.
Akan tetapi mengikut perbilangan adatnya amat jelas bahawa Negeri Sembilan memang merupakan wilayah Kerajaan Melayu Johor. Hal ini dapat dilihat dari sumber ‘Torombo’ (Salasilah) Undang Jelebu mengenai putusnya hubungan dengan Johor sehingga timbulnya gelaran Dato’ Mandalika Menteri Akhir Zaman Sutan Jelebu Bergajah Tunggal kepada penyandang Jawatan Undang Jelebu.
Dalam ‘Torombo’ tersebut juga ada menyebut bahawa Jelebu, Sungau Ujong, Johol dan Rembau adalah dibawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil, Johor. Perbilangan adatnya juga ada menjelaskan:
Ini diperkuatkan lagi dengan keterangan cap Mohor kurniaan Sultan Johor sebagai kuasa memerintah Luak digunakan oleh beberapa orang Dato’ Penghulu Luak Tanah Mengandung seperti Dato’ Penghulu Muar umpamanya, Dato’ Undang Luak Jelebu juga menerima cop Mohor Sultan Abdul Jalil, Johor dalam peristiwa “Memutuskan tali ke Johor”.
Walaubagaimanapun keadaan kacau bilau dalam pentadbiran Kerajaan Johor selepas pembunuhan Sultan Mahmud II (Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) serta kekacauan yang ditimbulkan oleh orang bugis yang diketuai oleh Daeng Kemboja memaksa Luak-luak yang berada di dalam wilayah Negeri Sembilan untuk mencari Raja yang baharu untuk memimpin mereka. Dari situlah bermulanya jemputan Raja Melewar dari Pagaruyung ke Negeri Sembilan yang seterusnya dilantik sebagai Yamtuan atau Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pertama.
Sumber - Payung Terkembang (A. Samad Idris)










