Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Negeri Sembilan

satu program percuma khas oleh orangnogori.com

Luhak atau sering disebut sebagai Luak adalah jajahan sesuatu pentadbiran. Luak bertaraf dan bertindak sebagai sebuah negeri dengan diterajui oleh Undang dan Penghulu Luak. Luak berhak menentukan pentadbirannya sendiri dan berhak menentukan samada ingin bersendirian atau bernaung dengan negeri-negeri yang mempunyai Sultan.

Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Wilayah Adat Negeri Sembilan

Negeri Sembilan pada asasnya ditubuhkan dengan gabungan sembilan Luak/Negeri utama. Ini tidak bermakna hanya ada sembilan luak sahaja yang ada di dalam komposisinya. Terdapat juga luak-luak kecil yang menjadi serambi kepada luak-luak utama. Komposisi ini juga berubah-rubah mengikut sejarah sebelum ianya menjadi tetap selepas merdeka.

Suatu ketika dulu beberapa luak seperti Kelang (Selangor), Segamat (Johor), Naning (Melaka) dan beberapa kawasan di Negeri Pahang termasuk dalam Negri Sembilan. Oleh kerana beberapa sebab, luak-luak ini beralih arah ke dalam negeri-negeri seperti yang tersebut dalam kurungan.

Terdapat beberapa versi penulis-penulis dan penyelidik sejarah berkenaan dengan luak-luak asal di Negeri Sembilan. Antaranya seperti:

Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Wilayah Adat Negeri Sembilan

Yang di-Pertuan Besar bersemayam di Sri Menanti. Luak yang mengelilingi Sri Menanti ialah Ulu Muar, Jempol, Terachi, Inas dan Gunong Pasir yang dikenali sebagai Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung membawa pengertian tanah ibunda yang selaras membawa konotasi kawasan tempat bersemayamnya Yang di-Pertuan Besar. Pemimpin adat di Luak Tanah Mengandung ini disebut sebagai Penghulu yang berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti.

Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Besar bukanlah merupakan ketua Luak Tanah Mengandung sungguhpun Sri Menanti dalam Luak Ulu Muar. Penghulu-penghulu di luak-luak inilah yang bertanggungjawab menjaga baginda. Mereka mengaku taat setia dengan mengadap baginda. Paling bertanggungjawab sekali ialah Penghulu Ulu Muar kerana sekiranya Yang di-Pertuan Besar mangkat, adalah menjadi tugas Luak Ulu Muar untuk membawa berita itu kepada Undang Yang Empat.

Yang mengelilingi di sebelah luar pula merupakan empat luak utama yang dikenali sebagai Luak Berundang atau Undang Yang Empat.

  1. Sungai Ujong
  2. Jelebu
  3. Johol
  4. Rembau

Gelaran Undang Yang Empat ini terdiri daripada Datuk Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong; Datuk Lela Maharaja, Undang Luak Rembau; Datuk Mendika Menteri Akhirul Zaman, Undang Luak Jelebu; Datuk Johan Lela Perkasa Sitiawan, Undang Luak Johol.

Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Wilayah Adat Negeri Sembilan

Keempat-empatnya luak utama ini ada persangkutannya dengan empat buah luak Tanah Mengandung ini. Luak Tanah Mengandung merupakan serambi bagi luak yang empat tersebut. Serambi yang dimaksudkan ialah tempat persinggahan bagi Datuk Undang sebelum ke Seri Menanti;

  1. Serambi Sungai Ujong ialah Terachi
  2. Serambi Jelebu ialah Jempol
  3. Serambi Johol ialah Ulu Muar
  4. Serambi Rembau ialah Gunong Pasir.

Tiga luak yang lain iaitu Gemencheh, Ayer Kuning dan Linggi dikategorikan sebagai Luak Adat. Walaubagaimanapun, luak Inas (Walaupun dikategorikan dalam Luak Tanah Mengandung), Gemencheh, Ayer Kuning dan Linggi bersama-sama Luak Tampin tidak dikira dalam pola ideal terutama dalam menentukan Yang di-Pertuan Besar.

Berdasarkan giliran mengadap waktu upacara pertabalan Yang di-Pertuan Besar, hiraki luak itu adalah seperti berikut:

Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Wilayah Adat Negeri Sembilan

Di antara empat luak yang utama, Undang Sungai Ujong diberi tanggungjawab untuk menjadi jurubicara bagi Undang yang tiga lagi. Beliaulah yang akan merasmikan perlantikan Yang di-Pertuan Besar yang baru.

Negeri Sembilan sekarang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu yang mengamalkan Adat Perpatih dan yang tidak mengamalkan Adat Perpatih. Kebanyakan bahagian yang tidak mengamalkan Adat Perpatih ini samada mengamalkan Adat Temenggung (Ketumangungan), mengamalkan cebisan adat yang bercampur-aduk atau tidak mempraktikkan sebarang adat.

Bahagian yang tidak mengamalkan adat pepatih terdiri daripada sebahagian besar daerah Port Dickson, iaitu meliputi kawasan Linggi, Lukut dan kawasan pingir pantai Selat Melaka.
Wilayah Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pula terdiri daripada daerah Seremban, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Di samping perbezaan sistem adat di sebahagian besar daerah Port Dickson dan daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, terdapat juga kelainan sistem adat dalam kalangan luak tradisi Adat Perpatih. Berdasarkan sistem politik tradisi wilayah adat perpatih, Negeri Sembilan kini dapat dibahagikan kepada empat, iaitu:

  1. Wilayah Luak Berundang
  2. Wilayah Luak Tanah Mengandung
  3. Wilayah Luak Tampin
  4. Wilayah Luak Beradat

Sebelum dijajah Inggeris, luak-luak ini bertaraf negeri dan mempunyai kuasa mutlak dengan Undang dan Penghulu menjadi pemimpin.

Pengertian Dan Senarai Luak-Luak Dalam Wilayah Adat Negeri Sembilan

CATATAN LAIN
Dengan persetujuan DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Al-Marhum Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman dan Datuk Undang Luak Johol, telah dibentuk sebuah luak yang termasuk di dalam lingkungan Undang Luak Johol dinamakan Luak Kecil Pasir Besar. Telah diisytiharkan penubuhannya pada 18hb Oktober 1987. Luak ini diketuai oleh seorang penghulu bergelar Datuk Penghulu Luak Kecil Pasir Besar dan dibantu oleh Datuk Muda Penghulu Pesaka.

Oleh kerana waris penduduk asal Pasir Besar yang layak menyandang pesaka Penghulu Luak itu dianggap tidak mempunyai suku tertentu maka sejak tertubuhnya Luak Pasir Besar ini waris penduduk asal itu telah dikurniakan gelaran Suku Raja Berketurunan Kurnia Raja.

Pentadbiran adat di Luak Kecil ini tidak sepenuhnya mengikut adat Perpatih. Mereka tidak mempunyai tanah pusaka adat dan anak buahnya tidak ada halangan untuk berkahwin sama sewaris. Sumber – smdkp-bng.blogspot.my; ujanglobek.blogspot.my

Artikel berkaitan:
Sejarah Asal Usul Johol Dan Undang Johol
Sejarah Undang Johol Pertama

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.