Isu Pembinaan Hospital Rembau Lambat Siap

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

SEREMBAN, 24 Jan - “Siap saja Hospital Rembau ini besok, yang bercakap itu kita tangkap dan bawa masuk ke dalam wad,” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan secara berseloroh.

Mohamad (depan, tengah) beramah mesra dengan sekalian yang hadir, petang semalam. Foto - Sinar Harian

“Saya tahu, siapa yang bercakap. Saya hendak tangkap dan cakap pada doktor, belahlah badannya mana yang patut. Macamlah dia tidak boleh hidup kalau hospital tidak siap,” tambahnya lagi dengan penuh sinis.

Kata-kata itu kemudian disambut dengan derai tawa sekalian yang hadir di Dewan Tuanku Aishah Rohani di Bangunan NSWO, di sini, sempena Program Sepetang Bersama Pemimpin, semalam.

Demikian respons beliau terhadap isu pembinaan hospital di Rembau yang dipolitikkan oleh pihak tertentu sebagai senjata untuk berkempen menjelang PRU14.

Menurut Mohamad, tiada apa yang perlu digusarkan dengan isu berkenaan memandangkan penduduk di daerah itu masih boleh mendapatkan rawatan di Hospital Seremban dan Hospital Tampin.

“Memang betul, letak batu asas pada 2008. Tapi tapak itu diserahkan kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) penghujung tahun 2013.

“Bila hendak buat, kontraktor kata tidak boleh (buat) sebab lukisan pelannya tidak boleh diikut. Kalau dibuat juga, hospital akan runtuh.

“Bertengkar kontraktor dengan konsultan. Penyudahnya, dua-dua kita buang,” katanya semasa berucap pada program berkenaan yang merupakan anjuran bersama Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS).

Turut hadir, Yang Dipertua NSWO dan Pekerti NS, Raja Datin Seri Datuk Salbiah Tengku Nujumudin.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menegaskan bahawa tindakannya menegur kelewatan pembinaan hospital di Rembau bukan secara sesuka hati.

Sebaliknya kata beliau, langkah itu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat berdasarkan kapasitinya selaku Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

SUMBER - Dipetik daripada Sinar Harian Onlne (24 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.