Tarikan Lemang Sushi Dari Kuala Pilah

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Lazimnya, Kuala Pilah dikenali dengan pelbagai produk makanan kampung. Makananan seperti daging salai, itik salai atau ayam salai merupakan permandangan biasa di tepi-tepi jalan sepanjang laluan Seremban - Kuala Pilah. Namun kini, muncul satu lagi inovasi produk baru yang menambah lagi koleksi makanan kampung di daerah itu.

Lemang sushi yang berinti ditengah-tengahnya

Produk makanan yang dikenali sebagai Lemang Sushi telah mencipta fenomena baru apabila makanan ini sudah mula dipasarkan sejak Januari tahun ini. Produk terbaharu tersebut bukan sahaja menambah koleksi makanan unik yang ada di Negeri Sembilan ini malah turut mendapat sambutan hangat dikalangan orang ramai.

Mendengarkan namanya sahaja pasti membuatkan ramai tertanya-tanya tentang rasa lemang sushi ini sendiri. Adakah ia lebih mempunyai rasa lemang atau pun sushi dan apakah yan membezakan ia dengan lemang biasa?

Zuriati menunjukkan lemang sushi diusahakan bersama suaminya.

Lemang sushi mula mendapat perhatian pelbagai akhbar tempatan.

Menurut pengusahanya, Zuriati Sulaiman, 50 berkata dia telah memulakan produk lemang sushi selepas berjaya mengeluarkan makanan serunding daging, ayam, ikan bilis dan popia simpul sejak 10 tahun lalu.

Juga terdapat dalam pelbagai jenis inti seperti rendang, serunding, pulut hitam dan sebagainya

Tidak mahu duduk pada takuk sama, Zuriati cuba menginovasikan produk serundingnya dengan menggabungkannya dengan lemang, maka lahirlah lemang sushi yang berintikan serunding menerusi syarikatnya, Awie Enterprise.

Uniknya, wanita ini dan suaminya adalah satu-satunya pengeluar produk sedemikian dalam negara ini dan sekaligus mendapat pengiktirafan daripada Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Kami sebenarnya beberapa kali mencuba untuk mencipta lemang sushi ini, tapi ada saja tidak kena. Tetapi akhirnya berjaya sepenuhnya dan memasarkan produk ini, Januari lalu.

“Kami masih kekalkan cara tradisional dengan menggunakan santan dan beras pulut biasa serta daun pisang bagi mengekalkan rasanya. Tapi, tidak menggunakan bulu, sebaliknya dibakar di dalam ketuhar khas lemang hasil bantuan JPNS dan Mardi. Malah, ia menjimatkan masa,” katanya kepada akhbar tempatan, Sinar Harian.

Lemang yang dimasak dalam mesin khas.

Katanya lagi, dari segi fizikal lemang sushi tidak jauh berbeza dengan lemang biasa, malah intinya dimasukkan menggunakan teknik tertentu agar tidak bercampur dengan pulut. Tambahan pula, bahagian luar sushi lemang ini boleh dimakan dan tidak seperti lemang biasa yang menggunakan daun pisang yang tidak boleh dimakan.

Lemang sushi ini juga boleh didapati dalam bentuk sejukbeku (Frozen Food). Ia memudahkan pelanggan yang jauh untuk merasai keenakan lemang sushi ini. Cara menyediakan lemang yang disejukbeku ini amat mudah. Ia perlu dimasak semula dengan cara mengkukuskannya semula atau dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro selama 20 minit.

Juga terdapat lemang sushi yang berintikan durian

Usahawan yang turut dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut mendapat pelbagai pengiktirafan anugerah di peringkat kebangsaan dan negeri kerana berjaya mengembangkan serta mempopularkan produk makanan tradisional negeri ini.

Pasangan suami isteri ini juga telah mendapat johan Projek Pengembangan Veterinar Industri Asas Tani Peringkat Kebangsaan 2012, johan serunding ikan bilis pada Hari Peladang Penternak dan Nelayan (HPPNK), Negeri Sembilan 2014 serta juara produk komersial kategori mikro popia mini Maha 2016. Bagi lemang sushi pula, produk itu dicalonkan bagi kategori inovasi peringkat kebangsaan tahun ini.

Lemang sushi yang boleh didapati dalam bentuk sejukbeku

Sumber - Sinar Harian (9 JUN 2026)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.