KUALA PILAH, 6 Okt - Dua pengedar menjadikan bahagian bawah sebuah surau di Kampung Tengkek, di sini, sebagai ‘markas’ mereka membungkus dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun taktik mereka yang melakukan kerja kotor itu ketika ketiadaan jemaah di surau berkenaan, terutama pada waktu tengah malam dan awal pagi, sejak lima bulan lalu dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, menerusi Ops Sarang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata pihaknya membuat serbuan pada jam 5.15 pagi dan menahan kedua-dua lelaki berusia 29 dan 45 tahun di surau terbabit.
“Hasil pemeriksaan menemui heroin seberat 52 gram dan methamphetamine (lima gram). Kita turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Polis percaya bekalan dadah dibawa masuk dari luar Kuala Pilah sebelum dibungkus dan dijual untuk pasaran daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
KETUA Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok (dua dari kiri) menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas. - Foto Berita Harian
Sumber - Petikan berita daripada Berita Harian Online (6 Oktober 2017 | 8:46pm)








