Maut Dirempuh Teksi Setelah Tercampak Dari Kereta

Share on Facebook
Tweet on Twitter

SENAWANG, 6 Okt - Seorang lelaki maut selepas tercampak dari kereta sebelum dilanggar sebuah teksi di Kilometer 242 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Senawang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.51 pagi itu, Muhammad Syahmie Mohd Azman, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Efeendy Rahmad, berkata lima penumpang dan pemandu kenderaan lain cedera ringan dalam nahas membabitkan empat kenderaan itu.

Antara kenderaan yang terbabit dalam nahas mengorbankan seorang lelaki di Kilometer 242 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Senawang, Seremban, pagi tadi. - Foto Berita Harian

“Mangsa yang memandu bersendirian dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum keretanya terbabas melanggar pembahagi jalan. Kejadian menyebabkan dia tercampak keluar manakala pemandu sebuah teksi dari belakang dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu teksi itu tidak mengalami kecederaan, manakala dua penumpang wanita serta seorang lelaki cedera ringan.

Katanya, sebuah lori di belakang teksi berkenaan cuba mengelak dan berhenti sebelum melanggar sebuah lori lain, namun difahamkan lori yang dilanggar itu meneruskan perjalanan kerana hanya mengalami kerosakan kecil.

Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori terbabit turut cedera ringan. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Sumber - Petikan berita daripada Berita Harian (6 Oktober 2017 | 10:40am)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.