Kenali Sejarah Batu Kikir Negeri Sembilan

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Batu Kikir, itulah nama sebuah pekan kecil di Negeri Sembilan yang terletak kira-kira 16km dari Kuala Pilah dan 12km dari Bahau. Sekali pandang memang tidak ada yang istimewa berkenaan kampung tersebut. Tetapi bagi sesiapa yang mengenali pendeta bahasa terulung negara iaitu Za’ba, pasti sinonim akan tempat bernama Batu Kikir. Kenapa tidaknya, kerana Batu Kikir merupakan tanah tumpah kelahiran beliau.

Nama Batu Kikir ini terbit daripada sebuah tempat kawasan bukit yang dikorek untuk mengeluarkan batu kelikir berhampiran pekan ini. Sebelum mendapat namanya seperti sekarang ini, pekan Batu Kikir ini dikenali dengan nama pekan Simpang Empat atau Simpang sahaja. Bila berlakunya perubahan nama ini tidaklah diketahui dengan tepat. Ada yang berpendapat pertukaran itu berlaku pada sekitar tahun 1930-an atau sebelum kedatangan penjajah Jepun.

Pekan ini terletak di pertemuan jalan Kuala Pilah - Bahau dan Kawasan Ulu Jempol - Kuala Jempol. Pada masa itu jalan di pekan Simpang ini hanyalah jalan kecil yang dilalui oleh kereta kuda dan kereta lembu di samping pejalan kaki.

Basikal pertama sampai ke pekan ini adalah pada sekitar awal 1920-an. Basikal itu dipunyai oleh Tuan Hj. Ismail, ketua kampung pada masa itu. Ramai orang berkerumun mengelilingi basikal itu dengan penuh kehairanan kerana itulah pertama kali mereka melihat basikal. Orang pertama yang mempunyai peti nyanyi di pekan Simpang ini ialah Kaul. Peti nyanyi itu dibawa ke merata tempat di sekitar pekan Simpang dan tempat-tempat yang berhampiran. Sesiapa yang berminat untuk mendengar lagu dikenakan bayaran satu sen bagi sebuah lagu. Ramai orang pelik dan melihat-lihat ke dalam corong peti itu kalau-kalau terdapat orang yang menyanyi di dalamnya.

Pada sekitar tahun 1920-an, pekan Batu Kikir hanya mempunyai beberapa buah kedai sahaja. Antaranya ialah kedai membeli damar hutan yang dipunyai oleh Deraman, sebuah kedai minum, kedai emas dan beberapa buah kedai Cina menjual garam yang didatangkan dari Melaka. Minyak masak dan gula masih belum lagi dijual di pekan ini. Di sekitar pekan hanya terdapat lima buah rumah kediaman sahaja.

Menjelang kehadiran Jepun, pekan Batu Kikir telah mempunyai banyak kedai. Ramai peniaga Cina telah datang berniaga. Orang Cina juga telah mula mendiami kawasan-kawasan pedalaman di Ulu Jempol, terutamanya di pekan Padang Lebar dan sekitarnya.

Dahulunya juga Batu Kikir juga turut dikenali melalui jambatan besinya sebelum ia dinaiktaraf oleh pihak berkuasa tempatan menjadi jambatan konkrit. Kalau anda pernah mendengar lagu dendangan Ally Noor & Mastura bertajuk ‘Apo Kono Eh Jang ada’ menyebut mengenai ‘jambatan bosi’ ini. Tidak hairanlah bila disebut Batu Kikir, orang pasti akan mengingati jambatan besinya.

Di pekan Batu Kikir yang kelihatan tenang ini juga pernah terjadi satu peristiwa hitam yang pernah mengegarkan nagara suatu ketika dahulu dimana ia menjadi medan pertempuran senjata api dengan parang antara penduduk melayu disini dengan komunis bintang tiga. Walaubagaimanapun, sejarah terperinci peristiwa ini tidak diketahui dan peristiwa ini menjadi bualan cerita orang-orang tua dahulu sehingga sekarang. - Sumber Jamaludin Samsudin

Artikel berkaitan:

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.