Jika anda melancong ke daerah ini jangan lepaskan peluang untuk singgah sebentar ke PD Wall Street Art di Bandar Port Dickson bagi merakam gambar kenangan yang menarik bersama-sama lukisan yang terdapat di sana.
Pelajar PPD bersama warga MPPD dan pensyarah selepas selesai menyempurnakan tugasan melukis mural. - Foto Sinar Harian
PD Wall Street Art adalah antara tarikan pelancongan yang diwujudkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan program kolaborasi bersama Politeknik Port Dickson (PPD) di mana ia mempamerkan seni lukisan dengan tema memorial dan interaktif yang dilukis pada dinding premis kedai di bandar ini.
Antara lukisan yang terdapat disini adalah seperti lukisan memorial menggunakan tema warna hitam putih. Ia membabitkan gambar lama pekan Port Dickson antaranya menara jam Port Dickson yang dibina pada 1970, landasan kereta api yang menjadi pengangkutan penggerak ekonomi Port Dickson satu ketika dahulu, pantai asal Port Dickson sebelum proses tambak dan beberapa lagi bangunan memori di sini. Selain itu terdapat juga beberapa lukisan interaktif menarik yang menggunakan pelbagai warna dan pengunjung boleh bergambar mengikut lukisan mural tersebut.
Jika sebelum ini pengunjung hanya tertumpu di kawasan pantai dan beberapa produk pelancongan di Jalan Pantai, kini mereka boleh datang ke Bandar Port Dickson untuk merakam sendiri gambar di mural ini. Pencinta lukisan atau sejarah juga boleh memanfaatkan mural yang terdapat disini.
Sebahagian mural yang ada di bandar Port Dickson. Dijangka ia akan ditambah dari masa ke masa
Sumber - Sinar Harian (21 Oktober 2017)













