Pemandu Lori Maut, Bas Sekolah Bertembung Dengan Lori

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

JEMPOL, 9 Jan - Pemandu lori ais maut, kelindan parah manakala empat pelajar cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas sekolah di Kilometer 22, Jalan Bahau-Kemayan berhampiran FELDA Lui Selatan 1, petang tadi.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan bas petang tadi.

Kemalangan berlaku pada 5.20 petang dan mangsa, Lee Yang Wee, 32, dari Melaka meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Jempol (HJ) sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas sekolah dipandu lelaki berusia 32 dari FELDA Lui Barat menuju Kemayan, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori ais.

Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori terbabit tersepit sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba bagi membantu mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, pemandu lori meninggal dunia di HJ. Keempat-empat pelajar berusia 15 hingga 17 tahun pula menerima rawatan di Klinik Kesihatan berhampiran,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kelindan lori parah di kepala dan kaki kanan dirawat di hospital sama, manakala pemandu bas tidak cedera.

“Kami masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Harian Metro Online (9 Januari 2018 | 10:48 PM); Gambar Kosmo; N9 RADAR

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.