Semalam kami ada mengeluarkan artikel berkaitan tokoh perjuangan kemerdekaan berhaluan kiri yang bernama Shamsiah Fakeh (Klik link ini untuk baca artikel sebelum ini). Namun terdapat persoalan daripada pembaca mengenai bagaimana Shamsiah Fakeh diterima balik ke Malaysia sedang Chin Peng tidak?
Seperti yang kita ketahui kedua-dua nama di atas adalah antara “Orang-orang kuat” MPAJA(malayan people anti japanese army) yang juga daripada PKM(parti komunis malaya). Shamsiah Fakeh dilahirkan pada tahun 1924 di kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, mendapat nama timangan sejak kecil “Che Yah” oleh saudara dan keluarga terdekat. Bapa beliau bernama Fakeh Sultan Sulaiman yang juga dapat jolokan Fakeh Godang iaitu Fakeh Besar kerana tubuh beliau yang agak besar.
Chin Peng pula atau nama sebenar beliau Ong Boon Hwa dilahirkan di sebuah kedai menjual basikal di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Ipoh, Perak pada 21 Oktober 1924. Keluarga beliau berasal dari Tanah Besar China dimana bapanya berpindah ke Malaya pada tahun 1930an berikutan dengan kemelesetan ekonomi yang berlaku di sana.
Sekiranya kita merujuk pada buku Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen Ke-10 dan “Chin Peng: Sejarah dari belah saya” (Alias Chin Peng: My Side of history), sudah tentu anda akan menegenali dua nama ini serta perbezaan antara dua individu ini.
Berdasarkan pendapat kami, Shamsiah Fakeh menyertai PKM bukanlah berdasarkan dengan falsafah Komunis itu sendiri yang tidak percaya dengan tuhan dimana pengasas beliau mengatakan agama itu adalah seperti Ganja/Candu pada manusia.
Tetapi tujuan beliau untuk menyertai PKM adalah berlandas tujuan murni iaitu untuk berjuang membebaskan Tanah Malaya pada ketika itu dari cengkaman Jepun dan British. Ini kerana semasa pemerintahan Jepun ramai anak-anak melayu yang bersemangat patriotik cuba untuk mencari ‘medium’ untuk berjuang dan salah satu daripadanya ialah PKM. Jadi tidak hairan kalau kita perhatikan kebanyakkan pejuang PKM adalah orang Melayu yang mempunyai didikan agama yang amat kuat, tidak terkecuali juga Shamsiah Fakeh yang mempunyai pengetahuan/pegangan Agama yang amat kuat. Cuma atas dasar “PERJUANGAN” Shamsiah Fakeh, beliau tersalah memilih ‘medium’ untuk salurkan perjuangannya itu.
Chin ping pula sekiranya kita perhatikan, perjuangan dia adalah disebabkan penindasan bangsa Jepun terhadap kaum cina pada ketika itu. Selain itu dia juga seperti terpengaruh dengan budaya dan fahaman Komunis itu sendiri. Selain daripada salah seorang pemimpin yang “degil” untuk berbincang setelah kemerdekaan dicapai, beliau juga adalah orang bertanggungjawab menggagalkan rundingan baling. Beliau tetap berkeras untuk menuntut parti komunis ‘dihalalkan’ sungguhpun ditawarkan pengampunan sepenuhnya tanpa sebarang hukuman. Ini berlaku mungkin disebabkan fahaman komunis telah sebati dalam dirinya.
Jadi disini apa yang boleh kami simpulkan perbezaan di antara Shamsiah Fakeh dan Chin Peng, kemasukan Shamsiah Fakeh tidak mempunyai kaitan dengan fahaman Komunism itu sendiri dan ia adalah hanya berpegang pada satu tujuan iaitu membebaskan tanahair daripada penjajah. Jadi tidak salah kami menganggap beliau sebagai antara pejuang pembebasan dari Jepun, cuma beliau hanya tersalah pilih ‘medium’ untuk berjuang. Sebaliknya Chin Peng yang berjuang bukan seratus peratus untuk kebebasan Malaya, tetapi lebih kepada pembelaan penindasan terhadap kaun Cina di China dan Malaya pada ketika itu selain fahaman komunis yang telah sebati dalam Chin Peng.
Walaubagaimanapun, ini hanyalah pendapat kami sahaja dan bukanlah niat kami ingin mengguris mana-mana pihak. Cuma untuk memahami perjuangan seperti Shamsiah Faqeh ini, bukan semua daripada kalangan kita menerimanya. Walaupun perjuangannya daripada medium yang salah, tapi sedikit sebanyak menyumbang kepada kemerdekaan negara kita.
Sumber - Di sunting semula daripada faizuljournal.blogspot.my berdasarkan buku Memoir Shamsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen Ke-10 & Alias Chin Peng: My Side of History.












