TELOK KEMANG 14 Sept. - Beberapa jalan di daerah ini akan ditutup dengan kawalan lalu lintas secara berperingkat-peringkat akan dilaksanakan sempena acara berbasikal Avillion Coastal Ride (ACR) 2017 pada Ahad ini.

Beberapa Jalanraya Di Telok Kemang Akan Ditutup Sempena ACR 2017
Ketua Polis Trafik negeri, Superintenden Md. Dali Wahid berkata, 10 laluan akan ditutup secara berperingkat-peringkat bermula pukul 7 pagi hingga 4 petang pada hari berkenaan.
“Jalan yang terlibat ialah Jalan Telok Kemang, Si Rusa, Linggi, Lubuk Cina, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Rembia, Cheng, Tanjung Keling (Pantai Puteri) dan Sungai Udang. Pengguna jalan raya tidak perlu bimbang kerana penutupan jalan ini hanya sementara bagi memberi laluan kepada peserta melalui jalan tersebut sekali gus meneruskan perjalanan mereka,” katanya dalam sidang akhbar dekat sini hari ini.
Avillion Admiral Cove di sini adalah lokasi pelepasan dan penamat kayuhan dan laluan bakal melibatkan jalan raya pesisir pantai dari Port Dickson ke Melaka.
ACR 2017 menawarkan kategori 25 kilometer (km) Fun Ride, 90km Scenic Ride dan 160km Endurance Ride, namun acara ini bukan berbentuk perlumbaan.
Acara yang mendapat kerjasama DRB-HICOM, Bank Muamalat dan Pos Laju serta Utusan Malaysia sebagai rakan media akan turut disertai bekas atlet berbasikal negara serta artis tempatan.
Kira-kira 1,500 peserta bakal mengambil bahagian ACR 2017 kali ini. Acara berbasikal ini akan diiringi polis, marshal, pasukan perubatan dan sokongan teknikal seperti ‘neutral service’ dan ‘water station’. Peserta ACR17 akan menerima baju kayuhan basikal yang eksklusif, medal tamat kayuhan, makanan dan minuman, insuran peribadi, E-Sijil dan peluang memenang pelbagai hadiah cabutan bertuah yang lumayan.
Ganjaran istimewa juga disediakan untuk pasukan dengan penyertaan paling ramai serta jersi terbaik untuk pasukan dan individu.
Sumber - Utusan Online (14 September 2026 | 8:21 PM);
















