SEREMBAN - Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan sesuatu produk di pasaran tanpa fakta klinikal yang sahih kerana perbuatan sedemikian dianggap tidak beretika.
Demikian pandangan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali ketika diminta mengulas berhubung isu span mandian yang tular di ruang siber yang didakwa mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Sebelum ini tular di Facebook kenyataan seorang individu bahawa penggunaan span mandian boleh menyebabkan kulit mudah terkena jangkitan bakteria dan kulat atas beberapa faktor.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali
“Kenyataan itu terlalu am. Sepatutnya penulis terbabit kena jelaskan lebih lanjut berserta fakta klinikal sekali, sebab tanggungjawab untuk membuktikannya terletak pada bahunya. Tanpa bukti yang sahih, orang ramai boleh keliru. Sekali gus akan beri impak tidak baik terhadap peruncit dan pengeluar span mandian berkenaan, malah mungkin boleh menjejaskan industri itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, ujian terperinci perlu dibuat terlebih dahulu terhadap span mandian tersebut bagi menyokong dakwaan dikemukakan.
“Kaji material digunakan untuk menghasilkan span mandian itu. Dapatkan juga nasihat daripada mereka yang arif terutama pakar-pakar berkaitan seperti pakar dermatologi. Walaupun produk sebegitu banyak di pasaran, namun bahannya mungkin berbeza mengikut setiap pengeluar,” katanya.
Mengulas kesan penggunaannya terhadap kesihatan kulit pula, Zainudin berkata, sesetengah individu mungkin ada alergi yang menyebabkan timbul masalah tertentu.
“Sama juga macam pengambilan sesuatu makanan. Kadangkala ada juga kurang sesuai walaupun mereka makan makanan sama,” katanya.
Sumber - Sinar Harian (22 September 2025)















