Rembau sememangnya banyak melahirkan ramai tokoh pemimpin negara, bangsa serta ulama. Namun generasi kini terutama anak Rembau mungkin tidak diketengahkan akan jasa-jasa pemimpin terdahulu. Mungkin ramai anak Rembau yang tidak tahu bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama setelah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 berasal dari Kg Chengkau Ulu, Rembau.
Tun Hj. Abdul Malek bin Yusuf bersama isteri beliau - Foto National Archives Of Singapore (10 Jun 2026)
Allahyarham Tun Hj. Abdul Malek bin Yusuf merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama dilantik bagi negeri ini. Allahyarham memgang jawatan tersebut dari 1hb Februari 1948 hingga tahun 1953. Allahyarham kemudiannya menjadi Tuan Yang DiPertua (Gabenor) Melaka dari 31hb Ogos 1963 hingga 31hb Ogos 1971.
Tun Haji Abdul Malek bin Yusuf, Dato’ Maha Kurnia merupakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka yang kedua. Beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 31 Ogos 1959 dan berkhidmat selama tiga penggal.
Allahyarham Tun. Hj. Abdul Malek bin Yusuf merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga orang adik beradik. Dilahirkan pada tahun 1899 di Kampung Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan dan dibesarkan dalam kehidupan kampung.
Foto nagarinantuo.com
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chengkau, Negeri Sembilan pada tahun 1907 seterusnya melanjutkan pelajarannya di peringkat tinggi di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1910.
Tun Hj. Abdul Malek telah mendirikan rumahtangganya dengan Puan Khatijah bte Ahmad dan mereka dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Halimah dan Habibah. Walau bagaimanapun, isterinya telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1950. Selepas itu, beliau berkahwin dengan isteri keduanya, Toh Puan Fatimah bte Ismail pada tahun 1964. Toh Puan Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Langat dan Sekolah Melayu Kajang.
Tun Hj. Abdul Malek bin Yusuf menandatangani buku kedatangan sempena lawatan beliau ke Lembaga Pembangunan Perumahan di Singapura - Foto National Archives Of Singapore (10 Jun 2026)
Tidak banyak informasi kami peroleh mengenai sumbangan beliau semasa menjadi menteri besar di Negeri Sembilan tetapi semasa beliau menyandang jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, banyak kemajuan di Melaka telah dicapai olehnya terutamanya dalam bidang sosial dan pertanian.
Penglibatan dalam bidang sosial sememangnya tidak dapat dinafikan. Ini kerana dalam tempoh perkhidmatannya, telah banyak kemajuan dicapai khususnya pembangunan luar bandar. Dalam bidang pendidikan contohnya, Tun telah membangunkan sekolah-sekolah menengah di beberapa kawasan iaitu di Bandar Besar, Melaka, Alor Gajah dan Jasin. Ini antara lain untuk memberi pendidikan yang secukupnya kepada penduduk tempatan dan telah dapat memberikan peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Dalam bidang pertanian pula, Tun amat prihatin terhadap para petani yang menghadapi masalah air bagi penanaman padi. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini termasuklah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu-isu yang berkaitan.
Potret TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-2
Sumber - rozmal.blogspot.my (16 Mac 2013); orangmelaka.com (22 Sep 2025).
















