
Buat generasi baru, Padang Stesyen Seremban adalah satu nama yang sangat asing dan janggal didengari. Memang pun. Nama itu hanya dikenali oleh generasi sebelum 1990 atau lebih tepatnya 1992. Kenapa 1992? Sebabnya, mulai 1992, dengan semua pertandingan bola sepak peringkat nasional dimainkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi (STAR Paroi). Secara beransur-ansur, nama Padang Stesyen Seremban luput dari ingatan warga Negeri Sembilan.
Stadium Majlis Perbandaran Seremban atau dahulu lebih dikenali dengan nama Padang Stesyen merupakan Stadium kebangaan penduduk Negeri Sembilan. Dahulunya Stadium ini dikenali sebagai Padang Stesyen disebabkan bersebelahan dengan Stesen Keretapi Seremban.
Stadium ini mengikut sejarahnya dibuka pada awal tahun 1940 oleh Residen British di Negeri Sembilan, John Vincent Cowgill. Tujuan utama pembinaannya adalah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukan bagi warga pentadbiran Britsh ketika itu termasuklah sukan termasyur sekali iaitu bolasepak. Pada awal pembukaan padang ini, tidak ada kemudahan tempat duduk disediakan. Jadi penonton akan menyaksikan perlawanan bolasepak dengan berdiri di tepi padang.
Namun setelah mencapai kemedekaan, Padang Stesyen ini dinaik taraf pada tahun 1960 dengan membina tempat duduk berbumbung yang ketika itu boleh menampung kira-kira 5 ribu penonton dengan 500 tempat duduk.
Pada tahun 1973 Padang Stesyen ini sekali lagi dinaik taraf bagi membolehkan padangnya digunakan untuk Piala Dunia Hoki Padang pada tahun 1975. Ketika itu Malaysia telah terpilih menjadi tuan rumah dan Padang Stesyen telah menjadi salah satu ‘venue’ pertandingan. Pada waktu ini tempat duduk telah ditambah kepada 5000 tempat duduk tidak berbumbung menjadikan Padang Stesen ketika itu terkenal disebabkan keadaan padangnya yang baik yang sesuai untuk kejohanan bertaraf dunia.
Sekitar tahun 1979 Padang Stesyen ditukar nama kepada Stadium Majlis Perbandaran Seremban. Pekara ini diumumkan sendiri oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Dato’ Rais Yatim yang ketika itu juga merupakkan Menteri Besar Negeri Sembilan. Pertukaran ini dibuat disebabkan Seremban telah dinaik taraf sebagai bandar. Sekitar tahun ini juga Stadium ini juga pernah digunakan untuk Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan.
Pada tahun 1991 terjadi saat genting apabila pasukan Negeri Sembilan dalam usaha untuk merebut takhta juara Semi Pro Bahagian dua (sekarang Liga Premier) ketika itu, bertemu pasukan Sarawak yang menghuni tangga kedua dengan perbezaan 1 mata. Negeri Sembilan hanya memerlukan mata seri bagi membolehkan mereka menjadi juara di stadium sendiri. Pasukan Sarawak yang ketika itu terkenal dengan penyerang importnya John Hunter’ yang telah menjaringkan dua gol untuk menjadikan Sarawak berada dihadapan (2-1).
Saat debaran penyokong Negeri Sembilan ketika itu benar-benar menguji. Pada minit ke 89 tampak seperti Sarawak bakal dinobatkan menjadi juara, akan tetapi rezeki memihak kepada pasukan Negeri Sembilan setelah Marian Valach dijatuhkan dikotak penalti Sarawak. Suasana dingin ketika itu mengiringi langkah sepakan penalti Marian Valach, rembatannya menceriakan penyokong-penyokong Negeri Sembilan yang kini kali pertama menjuarai liga semi -pro dan seterusnya layak untuk bermain di divisyen 1 ketika itu.
Tahun 1992 adalah tahun terakhir Stadium Perbandaran Seremban digunakan. Stadium yang merupakan salah satu ikonik Bandar Seremban ini telah diruntuhkan Pada tahun 1993 bagi memberi laluan kepada pembinaan pasaraya terkemuka ketika itu (Seremban Parade-Parkson).
Sejarah serta perjalanan dan detik manis stadium akan terus dikenang, inilah stadium yang mana peminatnya boleh menyaksikan bola hanya dengan memanjat tiang lampu limpah stadium, mempunyai scoreboard’ yang besar menayangkan keputusan untuk mereka yang berada didalam dan diluar stadium dan juga perlawan bolasepak hanya diadakan pada waktu petang ! Terima Kasih Stadium Perbandaran Seremban kerana telah meningalkan seribu satu kenangan, ini adalah antara ikon Seremban yang telah hilang. - Sumber artikel daripada beritan9.blogspot.my
Artikel berkaitan:
Menara Jam Seremban Mercu Tanda Bandar Seremban Masa Lalu
Cerita Pendek 1989 Pengalaman Menonton Bolasepak Di Stadium Majlis Perbandaran Seremban















