NILAI, 21 Sept. - Sebuah kenderaan Proton Exora milik sebuah syarikat perhotelan yang diletakkan di tempat letak kenderaan awam di Nilai di sini terbakar secara tiba-tiba pagi tadi.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta Proton Exora di Nilai, hari ini. - Foto Utusan Online
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Fauzi Shamir berkata, kebakaran pada pukul 9 pagi itu menyebabkan kenderaan tersebut musnah 80 peratus.
“Seorang saksi, Nor Aida Saat, 28, memberitahu ketika kejadian tiada sesiapa di dalam Proton Exora itu yang mengeluarkan asap pada bahagian enjin sebelum terbakar. Wanita itu kemudian meminta tolong daripada seorang anggota polis bantuan, Muhammad Nazim Mohd. Zaulkifli, 25, yang cuba memadamkan kebakaran mengunakan alat pemadam api jenis debu kering, namun gagal kerana api marak dengan pantas,” katanya di sini hari ini.
Foto Utusan Online
Mohd. Fauzi berkata, seramai sembilan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bersama dua buah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 pagi.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 10 minit dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Kredit - Utusan Online (21 September 2025 | 3:16 PM)
















