BAHAU, 22 Sept - Sebanyak 10 telefon pintar dengan jumlah bernilai lebih RM20,000 dilarikan penjenayah bertopi dalam kejadian samun di sebuah pusat jualan dekat Pusat Perniagaan Kiara, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan, Azham Shah Azlan berkata, insiden sekitar jam 11.10 pagi itu dikatakan melibatkan dua lelaki yang menaiki kereta dipercayai Perodua Myvi berwarna hitam.
“Pusat jualan yang dibuka jam 10 pagi itu didatangi dua lelaki bertopi yang masuk menuju ke lokasi pameran telefon pintar di ruang hadapan premis. Salah seorang suspek dipercayai menggunting kabel keselamatan telefon tersebut, menyebabkan penggera keselamatan berbunyi. Mangsa iaitu pengawal keselamatan premis segera menghampiri suspek, namun seorang lagi suspek telah menyembur muka mangsa dengan pemedih mata,” katanya ketika mengesahkan laporan semalam.
Azham Shah (kanan) ketika di lokasi yang turut dilawati Adun Bahau, Chew Seh Yong (tengah). - Foto Sinar Harian
Azham Shah berkata, suspek kemudiannya melulu keluar, manakala seorang pekerja lain yang ketika itu berada di bahagian tengah premis bergegas ke ruang hadapan setelah tersedar bunyi penggera keselamatan.
“Mangsa turut beberapa kali menjerit ‘pencuri’ sebelum suspek dilihat melarikan diri. Polis ketika ini masih menjalankan siasatan berhubung kejadian di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat berhubung kenderaan yang dinaiki suspek diminta tampil melaporkannya di balai polis berhampiran.
“Kita berharap orang ramai memberikan ruang sepenuhnya kepada polis agar siasatan berjalan lancar,” katanya.
Sumber - Sinar Harian Online (22 September 2025)
















