Nelayan Rugi Puluhan Ribu, Perahu & Enjin Dicuri

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

PORT DICKSON, 12 Jan - Tiga nelayan di Pengkalan Nelayan Bagan Pinang kerugian mencecah puluhan ribu apabila perahu serta enjin dan peralatan menangkap ikan mereka dicuri awal pagi tadi.

Mereka yang terlibat, Abdul Ghafar Rasol, 55, Nordin Ahmad, 55, dan Mustafa Ladon, 52, masing-masing telah menjadi nelayan sekitar 20 ke 30 tahun lamanya.

Abd Ghafar berkata, lampu limpah di kawasan pengkalan nelayan yang rosak hampir dua bulan dijadikan peluang oleh penjenayah untuk melakukan kegiatan mencuri perahu di sini.

“Kejadian curi perahu dah lama tak berlaku di sini, tapi mungkin sebab lampu limpah rosak, keadaan jadi gelap maka pencuri ambil kesempatan itu. Kalau lampu limpah ini menyala, kawasan pengkalan ini terang benderang,” katanya.

Abd Ghafar berkata, malam ketika kejadian dia tidur di pengkalan nelayan sekitar jam 12.30 tengah malam dan terjaga sekitar jam 2.30 pagi.

“Saya memang biasa tidur di sini, untuk menjaga perahu saya dan pagi tadi lepas terjaga dari tidur suluh ke arah perahu yang ditambat. Tengok dah kosong, perahu hilang, saya suluh ke arah perahu lain dan ada dua tiga lagi yang hilang.

“Saya kejutkan kawan yang tidur di pondok sebelah dan buat pemeriksaan, air ketika itu memang tengah pasang jadi mudah untuk tarik sampan keluar dari kawasan tempat ditambat,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Nordin berkata, sejurus melihat beberapa bot hilang termasuk botnya, dia segera menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis.

“Malam tadi cuaca hujan dan air laut pasang di tambah keadaan gelap sebab lampu limpah rosak dan pencuri itu ambil kesempatan. Selain perahu yang berjaya di curi, tali tambat beberapa perahu yang ada di pengkalan ini juga telah di potong talinya, mungkin kalau kawan saya tak terjaga (dari tidur) jam 2.30 pagi, lagi banyak perahu yang hilang,” katanya.

Nordin berkata, akibat daripada perahunya hilang di curi telah menyebabkan aktiviti nelayannya terjejas seterusnya hilang punca pendapatan.

Nelayan Rugi Puluhan Ribu, Perahu & Enjin Dicuri

Mustafa (kiri) menunjukkan perahu miliknya yang berjaya ditemui semula di perairan Batu 4. - Foto Sinar Harian

Sementara Mustafa berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian perahu miliknya hilang oleh abang iparnya yang datang kerumah sekitar jam 4pagi.

“Memang terkejut dengan berita itu, sebab sepanjang 20 tahun jadi nelayan ini kali pertama bot saya hilang di curi. Sebaik tiba dipengkalan saya tinjau di kawasan sekitar, nampak lampu merah berkelip di tengah laut di Batu 4.

“Minta bantuan rakan menghampiri lampu itu (menaiki perahu) dan bersyukur kerana ia bot saya, enjinnya juga masih ada.

“Tapi satu lagi perahu saya hilang tidak dapat dijejak bersama dua lagi perahu rakan nelayan lain,” katanya.

Manakala seorang pengusaha perahu pelancong, Norazli Juri,40, berkata, dia bernasib baik apabila perahunya yang dicuri ditemui semula oleh APMM di tengah laut.

“Perahu itu tertinggal atau mungkin sengaja ditinggalkan oleh pencuri ditengah laut. Saya bernasib baik kerana perahu ditemui semula tetapi bersimpati dengan rakan-rakan nelayan yang perahunya hilang.

“Sejak enam tahun saya tambat perahu di pengkalan ini tidak pernah hilang dan berharap lampu limpah yang rosak dapat dibaiki dengan segera,” katanya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Zainudin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan mangsa dan siasatan dilaksanakan.

“Empat perahu dilaporkan hilang namun salah satunya telah ditemui APMM di tengah laut. Polis tidak menolak kemungkinan perahu yang dicuri di bawa ke negara jiran, Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Zainudin menasihatkan nelayan agar tidak meninggalkan enjin sangkut di perahu sebaliknya disimpan di dalan pondok pengkalan.

“Polis juga memohon agar MPPD atau pihak berkaitan untuk segera membaiki lampu limpah yang rosak bagi mengelakkan kejadian jenayah ini berulang lagi,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (12 JANUARI 2018)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.