29 Lelaki Terlibat Jenayah Curi Motosikal Di Port Dickson Ditahan

PORT DICKSON, 14 Okt – Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan 29 lelaki dipercayai terlibat dalam jenayah curi motosikal di daerah ini.

29 Lelaki Terlibat Jenayah Curi Motosikal Di Port Dickson

Motosikal yang dileraikan bagi dijadikan alat ganti serta aksesori, kemudian dijual dengan harga murah – Foto Sinar Harian

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan secara berasingan sejak 11 September lalu hingga minggu kedua Oktober tahun ini.

“Mereka terdiri daripada 15 lelaki tempatan, 12 warga Indonesia dan dua warga Filipina berusia antara 20-an hingga 40-an.

“Kesemua mereka ada yang sudah dituduh di mahkamah dan ada yang masih dalam tahanan untuk proses perbicaraan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga minggu kedua Oktober tahun ini, polis telah menerima laporan sebanyak 64 kes berkaitan kehilangan motosikal.

“Kejadian ini membabitkan Port Dickson (17 kes), Lukut (21), Telok Kemang (17), Bukit Pelandok (4), Pasir Panjang (3) dan Chuah (2).

“Ekoran kejadian ini, satu tindakan proaktif telah dilaksanakan dengan menubuhkan satu pasukan khas diketuai Pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Hasilnya polis berjaya menahan 29 suspek dan menemui semula barang kes iaitu 15 motosikal, empat rangka motosikal serta empat enjin motosikal. Polis juga merampas pelbagai aksesori, alat ganti motosikal dan dadah jenis heroin,” katanya.

Zainudin memberitahu, kebanyakan barang kes ini polis berjaya temui semula di kawasan ladang jauh dari pusat bandar.

“Ada motosikal curi yang telah dibeli pekerja ladang untuk kegunaan mereka dengan harga murah sekitar RM500 bagi sebuah motosikal, kemudian diubahsuai bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun gagal.

“Ada juga motosikal yang dileraikan bagi dijadikan alat ganti serta aksesori, kemudian dijual kepada orang perseorangan dengan harga murah daripada pasaran,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyasarkan motosikal yang ditinggalkan di tepi jalan utama.

“Dan faktor yang mendorong berlakunya kejadian ini adalah berpunca daripada kecuaian pemilik motosikal sendiri yang tidak mengunci, termasuklah ada yang meninggalkan kunci pada motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa sidang media di Bilik Gerakan IPD Port Dickson semalam. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Nor.

Sumber – Petikan berita daripada Sinar Harian (14 OKTOBER 2017)

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.