Pentingnya Peranan PIBG Sebagai Badan Perantara Sekolah Dan Masyarakat

Share on Facebook
Tweet on Twitter

SEREMBAN, 21 Dis - Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dinasihatkan supaya meningkatkan peranan mereka dengan menjadi badan perantara antara sekolah dan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan PIBG perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan setiap perkara yang berlaku antara guru dan ibu bapa dapat diatasi dengan lebih baik, tanpa perlu membawanya ke mahkamah.

Beliau berkata, kes membabitkan Cikgu Azizan yang pertama kali berlaku boleh diatasi sekiranya PIBG memainkan peranan dengan lebih jitu dan progresif.

“PIBG merupakan perantara kepada masyarakat dan sekolah, mana ibu bapa yang ada masalah boleh rujuk kepada PIBG untuk diselesaikan dengan cara baik.

“Kalau PIBG dapat memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dan tegas, saya yakin banyak perkara boleh diselesaikan.

“Jangan pula bila ada kes PIBG sorok dan simpan begitu sahaja, mereka perlu juga rujuk kepada pihak ketiga, yang mungkin boleh membantu selesaikan masalah yang berbangkit, kadangkala kita tak dapat selesaikan sendiri, tetapi ada pihak ketiga boleh membantu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Mohamad berkata, sikap toleransi antara semua pihak memainkan peranan dalam menjadikan anak itu berjaya.

Menurutnya, tugas mendidik anak menjadi seorang yang berjaya bukan sahaja terbeban di bahu guru semata-mata, sebaliknya ibu bapa dan keluarga juga perlu mengambil tanggungjawab bersama.

“Alhamdulillah pihak AG tarik semula pendakwaan, kalau tidak ia akan menjadi sejarah hitam dalam negara dan juga dalam bidang perguruan,” katanya.

SUMBER - Petikan berita daripada Sinar Harian Online (21 DISEMBER 2017)

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.