PORT DICKSON, 9 Okt - Dua lelaki mangsa kayak terbalik di perairan Tanjung Tuan petang semalam ditemui dalam keadaan selamat oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim), pagi tadi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim, Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar berkata, pada jam 8.35 pagi pesawat Udara Maritim Malaysia menjumpai dua mangsa di perairanTanjung Tuan, kira-kira 3.4 batu nautika Selatan Tanjung Tuan.
Menurutnya, kedua-kedua mangsa dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang dan kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut.
Yoong Loong dan Shak Kwan selamat ditemui pagi tadi.
“Mangsa yang diselamatkan adalah Leow Shak Kwan, 54, tahun dan Hew Yoong Loong, 61, tahun. Semua mangsa dapat diselamatkan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 9.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifili berkata, semalamMaritim melancarkan operasi mencari dan menyelamat tiga individu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita yang melakukan aktiviti berkayak dan dilaporkan jatuh laut di Pantai Tanjung Tuan, Port Dickson.
“Maritim Rescue Command Center (MRCC) menerima maklumat daripada Maritim Rescue Sub Center (MRSC) pada jam 6.15 petang pada 8 Oktober 2017. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula diaktifkan pada jam 6.35 petang, yang melibatkan aset Maritim Malaysia Bot Kilat 20 dan Petir 84.
“Maklumat awal ketiga-tiga mangsa memakai jaket keselamatan, setelah 45 minit operasi mencari dan menyelamat telah dapat menyelamatkan mangsa wanita, Foo Siew Wan, 54, tahun pada jam 7.15 petang di Pantai Blue Lagoon.
“Kemudian sebelum SAR hari pertana dihentikan pada jam 11.30 malam,” katanya.
Laporan daripada SinarTV
Sumber - Petikan berita daripada Sinar Harian (9 OKTOBER 2017)













