
Dato Raja Pati Mohamed Bin Ismail Bin Ibrahim P.P.N dilahirkan di Pelangai Kuala Pilah sekitar tahun 1852. Beliau dari sebelah ibunya adalah dari Suku Sri Semelenggang Naning, iaitu salah satu suku dalam adat Pepatih yang berasal dari Negeri Naning.
Pada zaman mudanya beliau tidak jemu untuk merantau dan menuntut ilmu agama dan kebatinan. Beliau merupakan rakan sepeguruan dengan Mat Kilau dan Dato Bahaman iaitu ketika bersama-sama menuntut ilmu dengan Tuan Guru Syed Abdul Rahman di Jenderak Pahang. Selain pada itu beliau juga pernah beberapa kali mengunjungi Tuan Guru Hj Mat Hasan Bin Panglima Munas atau Tok Janggut untuk bertukar pendapat tentang sesuatu ilmu. Disebabkan keakraban beliau dengan Tok Janggut maka beliau dihadiahkan sebilah keris oleh Tok janggut sebagai tanda persahabatan.
Berhubung siapakah Tuan Guru Syed Abdul Rahman ini, hanya terdapat 2 tokoh yang mempunyai perkaitan dengan Dato Bahaman, Mat Kilau dan Negeri Pahang. Pertamanya, Syed Abdul Rahman yang terlibat dalam perang saudara di Pahang dan kemudian berundur dan membuka Telok Ramunia. Keduanya adalah Tuan Guru Syed Abdul Rahman Al Idrus atau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh, seorang ulama bertaraf wali yang cukup terkenal serta merupakan penasihat sultan pada zaman Sultan Zainal Abidin III (Terengganu).
Dato Raja telah melalui beberapa zaman pemerintahan Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan pernah menjawat beberapa jawatan antaranya menjadi pegawai raja pegawai 99 kepada Yamtuan Antah dan Panglima kanan kepada Yamtuan Tuanku Muhammad sehinggalah kepada Yamtuan Tuanku Abdul Rahman.
Beliau turut terlibat dalam perang bukit putus bersama-sama Dato Siamang Gagap. Pernah diceritakan bahawa ketika meletusnya perang itu, beliau telah menunjukan kehebatannya dengan mencabut batang pokok pinang hutan dengan hanya menggunakan tangan dan kemudian melemparkan nya kepada tentera Syed Aman yang dibantu oleh Inggeris menyebabkan tentera Syed Aman menjadi kucar kacir sehingga mereka berundur ke paroi.
Beliau memang dikenali oleh pihak penjajah dan masyarakat setempat dan khususnya penduduk Sri Menanti, Pelangai, Senaling hingga ke Johol. Dato Raja telah di lantik oleh Yamtuan Tuanku Muhamad untuk memantau pembinaan jalanraya di Bukit Putus oleh pihak British sekitar tahun 1920an. Diceritakan ketika itu sebuah Steamroll telah jatuh kedalam sungai dan beliau kemudian telah menariknya seorang diri dan meletakannya ditempat asal. Malah Pendekar Bulin pula ada menceritakan bahawa Dato Raja pernah menghentakkan kakinya di tambak Johor menyebabkan tambak itu bergegar pula.
Antara jasa Dato Raja yang ramai tidak mengetahuinya ialah sebenarnya beliaulah yang telah mencadangkan sembilan tangkai padi untuk dimasukan kedalam Jata Negeri Sembilan sebagai tanda pencantuman 9 negeri dalam satu perisai.
Antara rahsia yang sangat disimpan ialah hubungan beliau dengan pahlawan dari pahang iaitu Mat Kilau dan Dato Bahaman. Ini dibuktikan melalui surat yang ditulis oleh anaknya Dato Dewa Sura Hj Habib kepada Utusan Melayu ketika isu kemunculan kembali Dato Bahaman atau Tok Guru peramu (19 May 2026). Ketika itu Usia Dato Raja telah menjangkau 120 tahun dan beliau telah memberikan beberapa tanda untuk mengenalpasti akan identiti Tok Guru Peramu itu.
Dato Raja jugalah yang telah memberikan tanda-tanda pengenalan kepada Utusan Melayu ketika Mat Siam mengakui dirinya sebagai Mat Kilau. Tidak ramai yang tahu akan keakraban Dato Raja dan Pahlawan Mat Kilau. Mereka kerap berjumpa di hujung usia mereka sehingga dikatakan bahawa Mat Kilau telah memakai nama Dato Raja dan anaknya iaitu Mohamed bin Ibrahim sehingga ke akhir hayatnya. Sungguh menjadi kebetulan yang tersurat bahawa umur ketiga-tiga pahlawan ini adalah panjang dan sebaya, Ilmu dunia dan akhirat mereka itu adalah dari sama ijazah dan jalan, iaitu mengenal Allah dengan Allah, Tarikatnya qadariah, amal -amal dan gaya-gaya mengamalkan sama jua. Ini diakui dan dicertakan sendiri oleh anaknya.
Dato Raja Pati Mohamed menghembuskan nafas terakhirnya di Johol pada 24 November 1972. Diceritakan bahawa semasa hayatnya beliau mempunyai beberapa orang isteri yang berasal dari Dioh, Jemapoh, Pelangai, Kota Bahru Kelantan, Temerloh, Kg Sri Menanti Batu Pahat dan yang terakhir dari Kampung Pasit Johol, dimana beliau dimakamkan. Hanya dari isteri sebelah Senaling beliau mempunyai zuriat dan Dato Dewa Sura Habib adalah anak lelaki tunggalnya. - Sumber daripada habib-kzadzikry.blogspot.my
Artikel berkaitan yang lain:
Peristiwa Peperangan Bukit Putus Negeri Sembilan
Kenali Pendekar Siamang Gagap Pahlawan Negeri Sembilan


















