
Bagi kebanyakan generasi muda termasuk yang berasal dari Negeri Sembilan sudah pasti tidak tahu signifikan tradisi mengoca oleh masyarakat di negeri ini. Justeru tidak salah jika dikatakan aktiviti berkenaan kurang mendapat sambutan dari generasi muda sedangkan mengoca merupakan hari yang ditunggu-tunggu penduduk kampung satu ketika dahulu.
Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, “mengoca” bukanlah sesuatu yang asing kerana ia membawa maksud aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan selalunya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam. Kebiasaannya, aktiviti “mengoca” diadakan selepas musim menuai padi yang mana ketika itu kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering. Namun jika paras air sungai atau kolam itu didapati dalam, penduduk akan menggunakan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk, jala dan jeramak.
Dahulunya, keutamaan aktiviti ini bukanlah pada hasil yang diperoleh tetapi keseronokan mencari ikan dan bermain air secara ‘berjemaah’ setelah seharian membanting tulang di sawah. Baru-baru ini untuk memberi gambaran sebenar kepada generasi baru terhadap aktiviti yang dilakukan ketika dahulu.
Januari 2017 yang lalu, satu keramaian telah diadakan di Kampung Gagu bagi memberi gambaran sebenar kepada generasi baru terhadap aktiviti yang dilakukan suatu ketika dahulu. Pesta Menuai dan Mengoca anjuran Yayasan Budi dengan kerjasama masyarakat setempat itu bertujuan menghidupkan kembali aktiviti berkenaan.
Pesta yang diadakan itu turut disertai kira-kira 300 penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama merasai keseronokan pesta berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Mohd. Saad Harun, 63, berkata penduduk kampung ini masih mengamalkan tradisi mengoca biarpun kita berada pada zaman serba moden dan ternyata, usaha penganjuran pesta ini mencapai matlamatnya apabila pengunjung yang turut serta dapat merasai sendiri pengalamannya.
Pesta yang dihadiri segenap lapisan masyarakat yang bukan sahaja dari warga kampung malah pengunjung dan pelajar luar turut merasai sendiri aktiviti mengoca di dalam kolam yang mempunyai pelbagai jenis ikan air tawar antaranya seperti lampam dan jelawat. Sememangnya pengalaman tersebut amat berharga buat pengunjung dan pelajar yang pertama kali melakukan aktiviti ini.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, masyarakat Melayu perlu menilai, meneliti serta menghayati semula cara-cara kehidupan yang diamalkan di kampung dalam konteks sebenar. Ini antara sebab mengapa diadakan pesta untuk mengoca ikan, membuat emping dan kenduri di kampung ini yang secara langsung dapat mewujudkan perasaan kekitaan dan memulihara warisan. - Utusan











