Cerita Seram Di Hotel Port Dickson (Bahagian II)

Facebook
Twitter
Google+
Pinterest
WhatsApp

Minggu lepas kami ada bercerita mengenai satu hotel di Port Dickson yang dikatakan agak seram untuk menginap. Kali ini, kami ingin menyambung lagi cerita seram lain yang berlaku di hotel Port Dickson juga, rasanya cerita ini mungkin dari hotel yang sama kami ceritakan pada minggu lepas berdasarkan lokasi cerita ini. Kali ini kisah ini mengenai seorang lelaki bernama Hairi yang berumur 25 tahun. Tidak dapat dipastikan bila cerita ini berlaku. Ia mengenai kisah 2 kawan yang bercuti ke Port Dickson dengan alasan untuk merehatkan minda selepas habis daripada peperiksaan di salah sebuah Universiti di Kuala Lumpur. Ikuti kisahnya.

Nama aku Hairi, berumur 25 tahun. Cerita ini berlaku pada tahun lepas. Masa tu aku baru sahaja habis peperiksaan kat Universiti. Ingat nak rehatkan minda sekejap, maklumlah baru habis peperiksaan. Aku ajaklah seorang rakanku untuk bercuti ke Port Dickson. Kami pergi berdua je masa tu. Dari Kuala Lumpur kami menyewa kereta MyVi. Lepas sahaja Zohor, kami terus bertolak ke Port Dickson. Tanpa apa-apa persediaan untuk menginap dimana-mana, kami pun main terjah sahaja.

Sampai sahaja Port Dickson petang tu, barulah kami sibuk cari pakcik Google untuk menginap kat mana. Satu-satunya tempat yang kami rancang untuk menginap, semuanya penuh. Lepas tu ada hotel yang kosong, mahal pulak tu harganya. Memang tak mampu lah kami nak bayar. Hinggalah sampai ke satu hotel yang terletak di tepi jalan tu, kami bertanya sama ada bilik kosong masih ada lagi atau tidak. Kakak yang kerja sebagai penyambut tetamu hotel tu melemparkan kami dengan penuh senyuman sambil berkata dia ingin memeriksa dulu ada bilik kosong atau tak.

Selepas 5 minit menunggu, barulah kakak tu muncul dan beritahu yang semua bilik dalam hotel itu penuh. “Bilik dah penuh la dik” kata akak tersebut. “La ye ke kak. Kami dah pergi hampir semua hotel kat Port Dickson ni tapi semua penuh je” jawab aku. Akak itu menyambung “Yelah dik, datang masa cuti memang selalu macam ni”. “Ooh, kalau macam tu takpelah” kataku pasrah. “Eh, tapi akak ada kawan yang ada buat pakej penginapan ni. Tapi bukan hotel lah, kondominium.. Nak tak?” Akak itu memberi cadangan.

Hendak dipendekkan cerita, tanpa berfikir panjang kami pun ambil sahaja tawaran kakak tu tadi. Dia tunjukkan lah peta di mana lokasi kondominium tu. Dari jalan utama, masuk ke simpang dan turun sikit bukit nampaklah kondominium tu.

Waktu tu dah maghrib kami sampai disana, berjumpa pulak dengan seorang apek, katanya kawan akak tu tadi. Serius, kondo memang nampak macam tak terurus sikit. Kat basement parking walaupun banyak kereta kat situ, tapi tetap menyeramkan. Ada jugalah beberapa kereta yang kami nampak berhabuk dan terbiar lama sahaja kat situ.

Naik sahaja lif, sampailah kami ke tingkat yang kami nak sewa tu. Bilik tu jauh sedikit dari lif. Sepanjang perjalanan ke bilik tu, aku cubalah tinjau pintu-pintu bilik yang lain kot-kot ada orang lain yang menginap. Tapi nampak macam tak ada orang langsung. Selesai sahaja apek tu tunjukkan kami bilik, kami pun berehat la sekejap.

Dari beranda rumah tu memang boleh nampaklah laut yang terbentang luas. Memang cantik view kondominium tu. Aku juga ada nampak kolam renang. Aku konon beria la ajak kawan ak untuk tengok kolam tu lepas ni.

Sekitar pukul 7.30 malam macam tu. Aku dengan kawan aku tadi cuba turun ke tingkat di mana ada kolam tu. Nak tengok kolam yang kami nak mandi esok lah kan kononnya. Lagipun kami memang nak turun cari makanan jugak masa tu.

Kami pun naiklah Lif dan berhenti di tingkat yang ada kolam tu tadi. Bila pintu lif terbuka je, gelap gelita semuanya. Cuma diterangi cahaya samar-samar dari lubang-lubang yang terdapat di sekitar kondo tu je. Kami pun tengok la kolam tu dan tapi memang langsung tak ada lampu. Dengan keluasan macam tu, terasa macam memang bangunan kondominium tu terbiar.

Dari kolam tu, aku pun dongaklah ke atas tengok kalau ada orang lain yang menginap kat kondo ni. Aku cuma nampak ada 2,3 bilik je yang menyala lampunya. Disebabkan kami pun dah rasa seram, kami pun tak jadi nak ronda-ronda kat kolam tu. Jadi kami turunlah ke basement untuk keluar cari makanan.

Aku pun cuba tekan butang lif turun. Tapi tak ada respon. Lama gak lah menunggu. Bila fikir takkanlah lif ni rosak. Sebab tadi masa turun ok je. Kami pun takde pilihan lain, terpaksalah turun melalui tangga. Bila aku buka je pintu tangga. Ya Allah, gelap gelita. Langsung tak nampak apa. Bila aku on kan lampu henset, nak tengok keadaan tangga tu. Terkejut betul aku tengok sampah berselerak kiri kanan tangga.

Dahlah nak kena turun tangga gelap, dengan keadaan macam tu. Kang ada apa-apa sembunyi kat tangga tu. Tak nampak langsung. Tapi kami tak ada pilihan lain, nampaknya kena turun tangga juga. Kawan aku berjalan dahulu. Aku di belakang.

Dengan keadaan takut, kami berjalanlah turun, tapi belum sampi lagi kami ke basement, tiba-tiba terasa ada tangan menyentuh bahu kananku. Aku dah tak tahu nak buat apa. Apa yang terfikir hanya nak cabut lari. Aku dengan cemas lari sekuat hati menuruni tangga tu. Kawan aku yang di depan tadi pun ikut cabut. Sampai kami di basement je, cepat-cepat kami naik kereta dan keluar dari kawasan kondo tu. Semasa turun lari tadi, mata aku sempatlah melihat kelibat seperti perempuan berpakaian putih betul-betul berada di kiri aku.

Di luar kondo kami carilah makanan untuk mengisi perut kami yang lapar ni. Selesai makan, jam dah pukul 9 malam. Aku ajaklah kawan ak tadi balik, tapi dia takut. Aku tak payah nak cakaplah, memang lagi takut. Ikutkan hati, memang nak blah malam tu juga. Tapi barang-barang masih tinggal kat atas. Nak tak nak kena juga naik balik ambil barang tu.

Disebabkan kami berdua dah takut nak pergi sana. Kami ambil keputusan untuk tidur sahaja dalam kereta. Bila dah berada dalam kereta tu, aku cubalah google pengalaman penyewa lain yang menginap kat kondominium tu. Memang kebanyakkanya pernah mengalami kisah seram di sana. Kisah aku ni rasanya tak cukup seram kalau dibanding dengan orang lain alamai. Tapi bila dah baca tu, menguatkan lagi perasaan takut kami untuk bermalam di sana malam itu.

Akhirnya, duit habis macam tu je tanpa kami dapat tidur pun di sana. Keesokan harinya, pukul 8 pagi tu, kami kembali ke kondo mengambil barang. Alangah terkejutnya kami bila lihat keadaan dalam rumah tu seperti ada orang yang tinggal di bilik ini semalam. Dengan cadar dan bantal berselerak sana sini. padahal kami tak sempat tidur pun.

Disebabkan dah takut sangat, cepat-cepat ambil barang call apek tu untuk kembalikan kunci, dia suruh letak je atas meja. Pagi tu juga kami kembali ke KL dengan perasaan takut. Pengajaran yang aku dapat, kalau nak menginap mana-mana periksa dulu latarbelakang tempat yang kita nak menginap tu sebelum kita ambil keputusan untuk menyewa.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangnogori.com

Orang Nogori
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.