Sumbang Gelang Demi Kemerdekaan Negara

Share on Facebook
Tweet on Twitter

Terlebih dahulu, kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Siti Rahmah Kassim yang meninggal dunia pada 24 Mac, 2017 yang lepas. Allahyarhamah Siti Rahmah yang juga pejuang kemerdekaan, meninggal dunia kerana sakit tua di rumah anaknya di Kelana Jaya pada 10.55 pagi. Beliau bukanlah prajurit yang menitiskan darah untuk menentang penjajah tapi apa yang beliau sumbangkan demi kemerdekaan negara ini, sememangnya layak dipanggil pejuang kemerdekaan negara.

Allahyarhamah Dato’ Hj. Siti Rahmah Kassim merupakan anak kelahiran Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau lahir pada 30 November 1926. (Meninggal pada umur 91 tahun). ‘Gelang Merdeka’’ adalah peristiwa yang telah mengharumkan nama Siti Rahmah dalam sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara ini.

Siti Rahmah merupakan orang pertama pada ketika itu yang menyerahkan gelang emas (hadiah pernikahan dari ayahnya) kepada Tunku Abdul Rahman untuk membiayai perjalanan beliau dan rombongannya ke London dalam rangka menuntut kemerdekaan Malaysia dari Inggeris. Sejak daripada itulah beliau dikenali dengan gelaran “Tokoh Gelang Kemerdekaan”.

Ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman berbicara di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir, Melaka. Almarhum Tunku Abdul Rahman berkata sambil menitiskan air mata bahawa beliau bersama raja-raja semenanjung Malaya hendak ke London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu tetapi beliau mengatakan UMNO tak punyai wang untuk biaya perjalanan tersebut.

Titisan air mata Tunku Abdul Rahman menyentuh perasaan Siti Rahmah membuatkan beliau berdiri dan berkata, “Tunku, saya terpanggil apabila mendengar ucapan Tunku. Dengan ini, patik menyumbangkan gelang emas kesayangan patik demi kemerdekaan negara. Saya ikhlas. Jika ada 10 gelang emas, semuanya akan diberikan kepada Tunku”.

Tunku Abdul Rahman menerimanya dengan linangan air mata. Dengan memohon izin pada Tunku Abdul Rahman, Siti Rahmah kemudian menyeru pada semua hadirin yang berada disitu untuk ikut menyumbang lagi bagi membiayai perjalanan rombongan Tunku Abdul Rahman yang akan ke London. Sesaat kemudian, terinspirasi oleh Siti Rahmah, para pembesar UMNO beserta hadirin lainnya satu-persatu menyumbangkan wang ataupun barang dalam berbagai bentuk, seperti rantai emas, kerongsang, jam, pin baju, cincin dan subang, termasuk tongkat berkepala emas.

Berita tentang usaha beliau menyerahkan barangan kemasnya itu tersiar dalam akhbar keesokan harinya. Malangnya, tindakan itu tidak direstui ibunya. “Ibu saya masih berfikiran konservatif. Saya fikir ibu bangga dengan saya tetapi sangkaan itu meleset. Ibu menunggu kepulangan saya dengan rotan belah empat. Dia tidak boleh menerima tindakan saya menyerahkan gelang hadiah perkahwinan itu kepada Tunku. Ibu merotan belakang saya sebanyak lima kali di tempat yang sama. Saya menangis namun ibu tidak hiraukan dan dia hanya berhenti merotan selepas baju saya dibasahi darah.“ katanya lagi. Baju beliau yang berlumur darah itu masih disimpannya sebagai kenangan “Titisan Darah Kemerdekaan”.

Bekas guru di Sekolah Perempuan Melayu Sungai Star, Parit Buntar, Perak serta ibu kepada lima orang anak ini mendapat sokongan padu daripada suaminya Allahyarham Ustaz Mohd Majzub Haji Yunus di dalam perjuangannya.

Malah semasa hayat beliau masih ada, beliau aktif serta banyak menghabiskan masa membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti badan bukan kerajaan (NGO). Menurut beliau, ia merupakan platform untuk mengetengahkan cadangan dan idea baharu dalam usaha meningkatkan kesedaran wanita dalam usaha memajukan ekonomi negara.

Beliau juga pernah dilantik menjadi Pegawai Penerangan UMNO Malaya di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. Ketua Kaum Ibu Bahagian Rembau ini menjadi wanita pertama sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan, kawasan Terentang, dari tahun 1959 hingga 1969 atas tiket Perikatan.

Perjuangan beliau mendapat pengiktirafan dengan dianugerahkan Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan, Tokoh Wanita Perkim dan Srikandi Negara, serta darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara dan Johan Setia Mahkota.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.